Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengerusi: Bersih akan kekal polos politik, tegas perjuang reformasi

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Bersih akan kekal sebagai sebuah gerakan sosial dan kumpulan pendesak yang polos politik (apolitical), menurut pengerusinya Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Faisal menegaskan matlamat utama badan pemantau pilihan raya itu adalah pelaksanaan agenda reformasi.

"Ia pernah didebatkan dalam kalangan NGO dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO), saya boleh katakan ada gesaan daripada masyarakat amum agar Bersih menjadi parti politik. Kami tidak berminat untuk menjadi parti politik.

"Kami akan menggunakan kedua-dua cara. Kami akan turun ke jalan raya, menghentak meja dan lebih berkonfrontasi. Tetapi pada masa sama, kami membuka pintu untuk mengadakan libat urus dengan ahli parlimen kerajaan, pembangkang dan bebas.

"Kami cuba untuk memainkan peranan kami dengan kedua-dua jalan ini," katanya selepas Kongres Bersih yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) semalam.

Faisal berkata demikian ketika menjawab gesaan seorang hadirin agar Bersih mendaftar sebagai badan politik.

Namun, katanya lagi, jika kerajaan gagal melaksanakan reformasi yang dijanjikan, Bersih bersedia untuk menggerakkan orang ramai dan mengadakan himpunan, untuk meningkatkan momentum dan tekanan kepada kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Faisal berkata 19 daripada 20 usul yang dibentangkan ketika kongres diluluskan untuk Bersih terus berjuang ke arah perubahan.

"Usul yang ditolak adalah agar PTPTN digabungkan dengan Pangkalan Data Utama (Padu).

"Ia usul yang bagus namun tiada kaitan dengan agenda reformasi kami. Ia boleh didebatkan dalam kalangan pelajar universiti," katanya lagi.