Skip to main
Logo Malaysiakini

Parallel pathway: Pinda akta atau ubah rangka program?

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Program parallel pathway mula menjadi perhatian ramai terutama setelah UITM digesa untuk membenarkan secara sementara kemasukan pelajar perubatan bukan bumiputera bagi melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat pakar dalam bidang pembedahan kardiotoraks.

Ia selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan ekoran Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf.

Pada April lalu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata Akta Perubatan 1971 (Akta 50) akan dipinda agar semua pelatih, terutama mereka yang mengikuti program itu, dapat didaftarkan dan diiktiraf.

Peguam New Sin Yew dalam acara The Great Parallel Pathway Debate semalam setuju dengan langkah meminda akta tersebut bagi menyelesaikan masalah itu.

New berkata terdapat keperluan yang jelas untuk meminda akta tersebut agar pelatih yang mengikuti program itu dapat diiktiraf, dan seterusnya menangani masalah kekurangan pakar di Malaysia.

New Sin Yew

Dia membangkitkan nisbah empat pakar bagi setiap 10,000 penduduk di Malaysia, yang jauh lebih rendah daripada purata nisbah oleh Organisasi Pembangunan Kerjasama Ekonomi (OECD), iaitu 14.2 pakar bagi setiap 10,000 penduduk.

“Jurang ini cuba diisi oleh kerajaan menerusi program parallel pathway, dan ia hanya akan berjaya jika kekangan kemasukan ditangani dan kerenah birokrasi dapat diminimumkan.

“Tidak masuk akal apabila seorang pakar perlu merujuk kepada dua badan untuk diiktiraf,dan tidak rasional apabila Kementerian Kesihatan (KKM) mengiktirafnya tetapi MMC tidak," katanya.

Katanya lagi, Menteri Kesihatan berkuasa mengeluarkan arahan, dengan 15 ahli MMC adalah atas lantikannya dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan adalah presiden MMC.

New membangkitkan Seksyen 8 Akta 50 menyatakan menteri berkuasa mengeluarkan arahan yang selari dengan akta dan MMC perlu mengiktiraf arahan tersebut.

“KKM boleh menggunakan kuasanya ke atas MMC jika ia mahu. Kedua-dua badan ini perlulah selari," katanya.

Dia mengibaratkan kemelut yang dihadapi ini dengan satu jalan cerita siri Netflix Three Body Problems, tentang permainan simulasi berkenaan sebuah planet yang memiliki dua matahari, dan ditimpa bencana kerana terperangkap dalam tarikan graviti kedua-duanya.

“Penduduk planet menderita. Saya biarkan anda sendiri teka apakah dua matahari tersebut dalam hal ini.

"MMC sudah menyatakan pendiriannya yang tidak mengiktiraf parallel pathway untuk pembedahan kardiotoraks (PPP-CT), maka penyelesaiannya adalah untuk KKM campur tangan dan mengiktirafnya menerusi undang-undang,” katanya.

"PPP-CT tidak sah hanya kerana MMC tidak mengiktirafnya. Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan semua perundangan berkaitan yang lain tidak sama sekali menyekat kuasa MMC untuk mengiktiraf PPP-CT di bawah seksyen 14B Akta Perubatan,” katanya lagi.

Pada masa ini, katanya lagi, satu-satunya cara untuk didaftarkan sebagai pakar adalah dengan mengikuti latihan kepakaran khusus di institusi yang diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Masalahnya ialah kerajaan mengiktiraf kolej-kolej diraja di UK ini dan menganggap lepasannya boleh berkhidmat di Malaysia, tetapi MMC belum berbuat demikian.

“Apa yang kerajaan lakukan ialah mereka memansuhkan elemen budi bicara MMC (menerusi undang-undang) dalam mengiktiraf kolej dan latihan dalam program parallel pathway," katanya lagi.

‘Ubah rangka program parallel pathway’

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata Akta 50 itu tidak perlu dipinda bagi menyelesaikan masalah itu.

“Ini adalah isu yang mudah dan jelas. Ia tidak memerlukan pindaan kepada undang-undang sedia ada.

“Ini adalah isu pematuhan peraturan kepada keperluan pendidikan tinggi Malaysia yang terkandung dalam undang-undang, khususnya Akta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2007 dan Akta 50,” katanya.

Azrul Mohd Khalib

Menyifatkan parallel pathway sebagai isu pendidikan, Azrul berkata berbanding meminda undang-undang, lebih mudah untuk mengubah rangka program tersebut agar mematuhi perundangan pendidikan tinggi.

Dia berkata MMC hanya menjalankan tanggungjawab mereka dan membuat keputusan yang selari dengan Akta 50 dan Aka MQA 2007

"Daftar Pakar Kebangsaan wujud untuk menjamin piawaian dan mutu semua pakar di negara ini. Piawaian perlu sama untuk semua bidang kepakaran, berdasarkan spesifikasi kepakaran mereka dan selari dengan ketetapan.

"Patutkah program parallel pathway dikecualikan daripada piawaian MQA kerana ia dikendalikan institusi luar negara. Bagaimana pindaan Akta 50 boleh menangani situasi ini?" soalnya.

Katanya lagi, program itu - yang tidak didaftarkan sebagai penyedia pendidikan tinggi dan menerusi MOU dengan kolej antarabangsa - tidak sama dengan program pascasiswazah tempatan yang dikendalikan pensyarah terlatih dan universiti yang diiktiraf, serta ditadbir di bawah beberapa akta.

"Saya tak fikir langkah meminda Akta 50 sebagai satu kesilapan, saya cuma merasakan ia tidak perlu. Undang-undang sedia ada memadai untuk keperluan kita," katanya lagi.