Skip to main
Logo Malaysiakini

Parallel pathway: Kabinet bincang Rabu depan - PM

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Isu mengenai program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks di Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan dibincangkan pada mesyuarat kabinet Rabu depan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kami akan membincangkan perkara ini pada hari Rabu semasa mesyuarat kabinet,” kata Anwar ringkas pada sidang akhbar selepas menghadiri Pameran Era Pascanormal Madanidi Berjaya Times Square, Kuala Lumpur hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada kabinet telah membuat keputusan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Malaysia menghadapi kekurangan pakar perubatan termasuk pakar bedah kardiotoraks.

Tiga pusat Kementerian Kesihatan di Kota Bharu, Kuantan dan Kota Kinabalu masing-masing hanya mempunyai seorang pakar bedah kardiotoraks.

UiTM ialah satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks, yang merangkumi pembedahan dan penjagaan penyakit jantung dan paru-paru.

Pada 25 April, portal kesihatan Codeblue melaporkan ahli lembaga program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar berkata universiti itu bersetuju membuka kursus itu kepada bukan bumiputera.

Persatuan Perubatan Malaysia sebelum ini berkata UiTM perlu membenarkan kemasukan bukan bumiputera yang mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotoraks, memandangkan pelajar antarabangsa boleh mendaftar untuk program berkenaan.

Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir sebelum ini berkata belum ada perbincangan mengenai kebenaran kemasukan bukan bumiputera dalam program tersebut.

Pelajar UiTM kemudiannya membantah kemasukan pelajar bukan bumiputera, dengan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh turut menyuarakan bantahan terhadap cadangan itu.

UiTM terima keputusan kerajaan

Naib Canselor UiTM Shahrin Sahib berkata universiti itu tetap mempertahankan Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang hanya membenarkan kemasukan pelajar bumiputera.

Bagaimanapun, katanya, UiTM akan menerima sebarang keputusan kerajaan dengan restu Yang di-Pertuan Agong sekiranya perkara itu berbangkit atas keperluan negara.

Sementara itu, sebelum isu itu mencetuskan kontroversi, terdapat isu berasingan mengenai pakar yang lulus dari program parallel pathway tidak dapat mendaftar untuk menjalankan praktik mereka.

Empat graduan yang memperoleh kelayakan Fellowship of Royal Colleges of Surgeons Edinburgh (FRSC Ed) untuk pembedahan kardiotoraks diberitahu mereka tidak boleh mendaftar sebagai pakar dan mengamalkan kepakaran di negara ini.

Ini kerana Majlis Perubatan Malaysia tidak mengiktiraf kelayakan FRCS Ed.

Kementerian Kesihatan berkata ia sedang meneliti pindaan Akta Perubatan bagi menyelesaikan perkara itu.