Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pihak kerajaan mahu AMCP 1984 diperluas, kawal media digital'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Pihak berkepentingan kerajaan yang berunding dengan pemain industri media mengenai cadangan pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan kawalan sedia ada dengan memasukkan kandungan media digital.

Menurut laporan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai perundingan awam yang diadakan pada bulan lepas berhubung cadangan pindaan kepada AMCP 1984, perbincangan itu menyatakan bagaimana industri penerbitan berkembang seiring kemajuan teknologi.

"Kewujudan aplikasi-aplikasi baharu dalam dunia teknologi komunikasi menawarkan medium-medium alternatif untuk masyarakat memperolehi maklumat dengan lebih cepat dan mudah.

"Perubahan-perubahan ini bukan sahaja merubah proses pengeluaran tetapi seluruh rantaian penerbitan termasuk dari segi pemasaran,” kata laporan itu pada bahagian yang menyorot analisis kerajaan mengenai senario semasa terhadap pendigitalan.

KDN mencatatkan peningkatan cabaran untuk mengawal penerbitan bercetak, dengan semakin banyak kandungan bukan bercetak mudah didapati dalam talian.

"Situasi ini menjadi cabaran kepada pihak kerajaan untuk mengawal selia hasil penerbitan yang diterbitkan dalam platform dalam talian.

"AMCP 1984 yang digubal bagi mengawal aktiviti serta kegiatan percetakan dan penerbitan bahan bercetak di negara ini dilihat perlu diperluaskan bagi meliputi kawalan terhadap bahan yang dipaparkan dalam laman Internet," kata laporan itu lagi.

Laporan itu juga merekodkan analisis maklum balas dari sesi konsultasi yang berlangsung antara 1 April dan 16 April, termasuk input bercampur mengenai cadangan peruntukan AMCP 1984 diperluas dalam talian.

Pengawal selia Internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi, berkata ia bersetuju dengan cadangan itu kerana peranan semasanya tidak termasuk mengawal selia berita atau melesenkan portal berita dalam talian.

Sebaliknya, tindakan hanya akan diambil pada laman sesawang berdasarkan aduan orang ramai.

SKMM juga mencadangkan takrifan atau kriteria yang lebih jelas ditetapkan untuk portal berita dalam talian - bilangan peratusan kandungan berita harian; jumlah langganan; bilangan wartawan yang menulis berita.

Sebaliknya, pengarang media yang mewakili Bernama, RTM, Makkal Osai, NST dan Sinar Harian membangkitkan bantahan mereka terhadap cadangan itu dengan mencadangkan kerajaan menubuhkan Majlis Media Malaysia sebagai pengawal selia bebas.

"Kawalan terhadap kandungan berita dalam talian akan memberi kesan kepada penerbit-penerbit akhbar yang turut memiliki portal berita dalam talian.

"Pada masa sama, penerbit-penerbit berita dalam talian yang tidak berdaftar bebas melakukan apa sahaja tanpa sebarang tindakan dari KDN.

"Cabaran utama penerbit akhbar ialah tindakan ‘aggregators’ atau penghasil konten yang sering memplagiat kandungan berita dalam talian," kata para pengarang berkenaan.

Pada 1 Mac, sebulan sebelum rundingan itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata kerajaan tidak akan membuat sebarang pindaan kepada AMCP 1984.

Ketika itu, Saifuddin menolak kebimbangan yang dibangkitkan oleh editor kanan tersebut sebagai khabar angin semata-mata.