Skip to main
Logo Malaysiakini

UM nafi tolak tuntutan pelajar tubuh JK antigangguan seksual

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Universiti Malaya (UM) menafikan menolak permintaan sekumpulan pelajar untuk menubuhkan jawatankuasa antigangguan seksual.

Pusat Komunikasi Korporat UM pada satu kenyataan kepada Malaysiakini berkata pihaknya mencadangkan Kelab Feminisme Universiti Malaya (UMFC) mengemukakan permohonan melalui saluran rasmi kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

"Universiti Malaya tidak menolak penubuhan jawatankuasa tersebut malah menasihatkan agar Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) untuk mengemukakan permohonan rasmi kepada HEP bagi membentuk Jawatankuasa Anti-Gangguan Seksual (ASMC) beserta terma rujukan kepada Hal Ehwal Pelajar," kata UM.

Pihak universiti juga menjelaskan Kod Bebas Eksploitasi, Penganiayaan dan Gangguan Seksual di Universiti Malaya (UM) pula telah dipinda baru-baru ini pada tahun 2021 dengan bantuan dan pandangan pemegang taruh dan pakar antaranya daripada Polis Diraja Malaysia serta mengambil kira pelbagai faktor seperti kekangan masa, keselamatan semua pihak dan privasi.

"UM sebagai badan berkanun yang, bagi sebarang perkara yang berkaitan dengan tindakan tatatertib kakitangan termasuk hukuman, ditadbir di bawah Akta Parlimen iaitu Akta Badan Berkanun (Tatatertib & Surcaj) 2000.

"Sehubungan itu, sebarang pindaan perlu selaras dengan akta berkenaan," kata kenyataan itu lagi.

Pada 24 Mei, UMFC menuduh universiti itu menolak memorandumnya untuk menubuhkan jawatankuasa antisalah laku seksual dan meminda tatakelakuan semasa mesyuarat yang diadakan pada 23 Mei.

Presiden UMFC Chin Jes Weng mendakwa bukan sahaja universiti itu menafikan permintaan kumpulan itu. Wakilnya pada mesyuarat itu juga disifatkan sebagai 'jahil' apabila berkata mahasiswa tidak tahu apa itu gangguan seksual.

Dalam dokumen memorandum kepada universiti, UMFC mencadangkan pindaan kepada beberapa bahagian, termasuk tindakan lebih tegas terhadap kakitangan yang terlibat dalam kes gangguan seksual.

Menjawab tuntutan itu, UM berkata pihaknya sentiasa mengambil langkah progresif dalam penyampaian maklumat berkenaan gangguan seksual ini melalui taklimat kepada semua pelajar baru ketika UM Welcoming Orientation Week.

"Pengeluaran Code of Free Sexual Exploitation, Abuse and Harassment dan sesi taklimat kepada warga kampus," kata kenyataan itu lagi.

UM berkata perjumpaan dengan UMFC dibuat atas dasar keterbukaan untuk menerima pandangan serta menunjukkan bahawa isu gangguan seksual dipandang serius oleh pentadbiran universiti.

"Hasil daripada pertemuan ini, Universiti Malaya mengambil maklum berkenaan tuntutan-tuntutan (UMFC)."

Dalam maklum balas segera kepada kenyataan terbaru UM, Chin menyoal mengapa memorandum itu tidak boleh dianggap sebagai permohonan kepada HEP kerana wakilnya turut menghadiri mesyuarat itu.

“Apa yang HEP selalu buat ialah mengalihkan perhatian untuk menukar topik. Ia tidak mengubah hakikat bahawa mereka tidak mahu menubuhkan jawatankuasa itu.

"Dan mereka bersetuju bahawa mereka menolak permintaan kami untuk meminda kod semasa," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, dia ragu-ragu permohonan rasmi UMFC akan dikendalikan dengan baik kerana birokrasi universiti memandangkan permohonan itu mesti dikemukakan di bawah kesatuan pelajar KMUM.

"Ini tidak masuk akal kerana semua pelajar dianggap ahli kesatuan pelajar," katanya.