Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Tak apa taraf kebebasan media jatuh kerana tegas isu 3R

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan "tindakan tegas" kerajaan terhadap ucapan menghasut, satu langkah yang secara tidak langsung menyumbang kepada penurunan taraf Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia tahunan yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF).

Dalam ucapannya pada Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024, tahun ini yang diadakan di Kuching, Sarawak, Anwar mengambil maklum kritikan RSF terhadap kerajaan, serta kehadiran wakil RSF di majlis itu.

“Jika kita membenarkan perkauman berkembang, atau fasisme, atau ketaksuban agama untuk bebas di negara ini, maka kita mesti menjangkakan kemungkinan pergeseran, perbalahan kaum dan ketidakharmonian agama.

“Sudah tentu kami dikritik, rakan kita dari RSF ada di sini,” kata Anwar merujuk kepada Pengarah Biro RSF Asia-Pasifik Cedric Alviani.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia jatuh 34 anak tangga ke kedudukan ke-107 berbanding 73 tahun lepas, dengan markah 52.07 mata.

“Saya tak kisah. Tidak mengapa jika kita diturunkan kerana kita tegas menentang perkauman dan fanatik agama.

“Oleh kerana pada pandangan saya untuk menyelamatkan negara ini, untuk melindungi hak majoriti dan minoriti adalah lebih penting daripada mendapat markah tinggi atau pengiktirafan antarabangsa,” kata Anwar disambut tepukan daripada tetamu yang hadir yang terdiri daripada ketua pengarang dan wartawan media terkemuka tempatan, NGO media, serta delegasi asing dari seluruh Asean.

Anwar menyatakan bahawa sebelum memegang jawatan sebagai perdana menteri dia telah menjelajah dunia sebagai ketua pembangkang dan menerima pujian antarabangsa atas pandangannya tentang keperluan kebebasan media.

Dalam kedudukan kuasanya sekarang, dia menegaskan tidak akan ada kompromi berhubung pendiriannya mengenai kepentingan media yang bebas.

“Kita mesti membenarkan ruang itu jika tidak demokrasi tidak akan matang. Tetapi di manakah kita harus letakkan sempadan?” katanya sambil menekankan kepentingan kod etika media yang mengatasi faktor kawalan luaran termasuk kerajaan atau pemilik media.

“Saya memilih untuk berterus-terang dengan anda kerana inilah cabaran yang kami hadapi.

"Saya sudah tentu mahu menjadi perdana menteri yang menjunjung prinsip media bebas. Tetapi kita perlu membuat garis panduan," katanya.

Anwar seterusnya menegaskan bahawa batas perlu ditetapkan berhubung dakwaan cubaan untuk mencetuskan kebencian kaum atau sentimen terhadap institusi diraja, dengan memetik contoh kontroversi baru-baru ini mengenai laporan media berhubung projek kasino yang dikatakan di Forest City, Johor, yang dikaitkan secara tidak langsung dengan Yang di-Pertuan Agong.

Dia berkata perlunya tindakan untuk melindungi institusi diraja dan Raja sebagai lambang perpaduan.

“Oleh itu anda tidak boleh mengheretnya dalam lumpur politik ini.

"Jadi kami telah memutuskan bahawa walaupun anda dibenarkan untuk mengkritik atau tidak bersetuju dengan perdana menteri atau kerajaan, anda tidak boleh mencetuskan kebencian kaum, terhadap institusi diraja atau menjadi fanatik agama," katanya sambil menambah bahawa mereka yang tidak biasa dengan Malaysia mungkin tidak memahami langkah berkenaan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam ucapan perasmiannya berkata kementerian sedang dalam peringkat akhir penubuhan Majlis Media Malaysia yang bebas, yang telah diusahakan sejak 2018.

Dia berkata kerajaan sedang dalam proses menyediakan analisis impak draf Rang Undang-undang MMC, yang dijangka dibentangkan di parlimen pada Oktober - persidangan terakhir tahun ini.

Sambutan Hawana selama tiga hari mengumpulkan pengamal media untuk beberapa siri acara di bawah tema "Etika Sebagai Asas Kewartawanan Lestari".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!