Skip to main
Logo Malaysiakini

Gelombang haba: Beberapa tempat di India cecah 50 darjah Celsius

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

GLOBAL | Hospital di Delhi akan menyediakan katil khusus untuk pesakit strok haba ketika kawasan barat laut India kekal dalam cengkaman gelombang haba.

Pentadbiran negeri Delhi mengumumkan pada Isnin bahawa 26 hospital kerajaan di ibu negara akan memperuntukkan sekurang-kurangnya dua katil setiap satu hospital untuk mangsa strok haba bagi memberikan penjagaan yang lebih baik kepada pesakit berkenaan.

Suhu maksimum mencapai paras tertinggi dalam lingkungan 40 darjah Celsius di bahagian utara dan barat India pada Ahad.

Keadaan gelombang haba yang teruk dijangka berlaku di kebanyakan tempat di Punjab, Haryana, Delhi dan Rajasthan, kata Jabatan Meteorologi India (IMD) pada Isnin.

Jabatan cuaca juga meramalkan suhu tinggi di Uttar Pradesh, Madhya Pradesh dan beberapa tempat di wilayah utara.

Phalodi di Rajasthan mencatatkan suhu 49.8 darjah Celsius pada Ahad.

Kawasan Mungeshpur di Delhi mencatatkan suhu maksimum 48.3 darjah Celsius pada Ahad diikuti Faridkot di Punjab yang mencapai 47.4 darjah Celsius, Sagar di Madhya Pradesh mencatatkan 46.2 darjah Celsius, manakala Adilabad di negeri selatan Telangana mencatatkan 44.8 darjah Celsius.

Gelombang haba telah menjejaskan perniagaan ternakan ayam di beberapa tempat, dengan ayam pedaging mati dalam suhu panas terik.

Seorang anggota Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) yang bertugas di Rajasthan di sempadan India-Pakistan meninggal dunia akibat strok haba, lapor media tempatan pada Isnin.

Suhu telah melepasi 50 darjah Celsius di beberapa tempat di wilayah barat yang bersempadan dengan Pakistan, menurut laporan.

Gelombang haba telah meragut puluhan nyawa dalam beberapa hari kebelakangan ini di pelbagai bahagian di India.

- Bernama