Skip to main
Logo Malaysiakini

'Mohon segera fleet card sebelum subsidi diesel ditarik'

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pemilik kenderaan diesel bagi tujuan mengangkut barang perlu mengemukakan segera permohonan mendapatkan fleet card agar boleh terus menikmati subsidi bahan api tersebut.

Permohonan itu, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, boleh dikemukakan secara dalam talian melalui pautan MySubsidi Diesel.

Katanya ia akan diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Selepas kerajaan melaksanakan dasar subsidi bersasar nanti, kata Fuziah, hanya pihak yang memiliki fleet card akan dapat terus menikmati harga diesel bersubsidi.

"Sebab itu paling penting ialah daftar segera. Apabila subsidi itu ditarik balik, hanya yang ada fleet card sahaja dapat beli diesel pada harga subsidi," katanya pada sidang media di Kuanta hari ini.

Fuziah turut memaklumkan terdapat 23 jenis kenderaan barangan yang layak menerima subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKSD) 2.0. berbanding 14 sebelum ini.

Katanya kenderaan yang layak menerima subsidi diesel termasuk lori rigid (curtain sider), lori katering makanan, lori rigid (hasil pertanian), lori tangki rigid (minuman), lori rigid (kandang haiwan), semi (van panel), dan lori rigid (kombinasi).

Selain itu, turut diberikan subsidi ialah bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform), van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan, lori rigid (perkhidmatan bergerak), van katering makanan, dan lori rigid (sampah).

"Apabila selesai mendaftar dan diluluskan, pemilik kenderaan atau syarikat itu perlu mengemukakan permohonan untuk fleet card di syarikat minyak ditetapkan," katanya lagi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan perutusan negara pada 21 Mei lalu mengumumkan kabinet bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Katanya, usaha penyasaran subsidi diesel ini akan memberikan jumlah penjimatan kepada kerajaan secara kasar sekitar RM4 bilion setahun.

Semalam, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan media memaklumkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung, layak memohon bagi sumbangan tunai kerajaan melalui Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani, mulai hari ini.

Pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu, manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.