Skip to main
Logo Malaysiakini

Malaysia belum jawab surat PBB dakwa pekerja Bangladesh dianiaya

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Kerajaan Malaysia belum membalas surat pasukan pakar PBB berkenaan pertanyaan tentang dakwaan penganiayaan terhadap pekerja Bangladesh di negara ini.

Pertanyaan tersebut dibangkitkan pelapor khas PBB berkenaan bentuk sementara perhambaan Tomoya Obokata, Robert McCorquodale (pengerusi-pelapor), Gehad Madi (pelapor khas PBB berkenaan hak asasi migran) dan Siobhán Mullally (pelapor khas PBB berkenaan pemerdagangan manusia, terutama wanita dan kanak-kanak).

Surat rasmi itu, yang direkodkan dalam panglakan data Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, bertarikh 28 Mac 2024. Ia memberi tempoh 60 hari kepada kerajaan Malaysia untuk memberi respons, yang berakhir hari ini.

Menurut pangkalan data, kerajaan Malaysia dan Bangladesh belum memberi respons mereka.

"Kami ingin membangkitkan perkara ini untuk perhatian kerajaan Tuan Yang Terutama, maklumat yang kami terima berkenaan penipuan perekrutan pekerja asing oleh jaringan jenayah yang beroperasi di Malaysia dan negara asal (pekerja).

"Pekerja asing ditperdaya, direkrut oleh syarikat palsu dan terpaksa membayar bayaran perekrutan yang tinggi sehingga menyebabkan mereka terikat dengan hutang," menurut surat itu.

Cadangan kepada kerajaan

Surat itu turut menyatakan pekerja Bangladesh tiba di Malaysia dan mendapati tiada pekerjaan untuk mereka seperti yang dijanjikan dan kemudian berdepan risiko ditangkap, ditahan, menerima layanan buruk, dihantar pulang dan terus dipergunakan.

Kerajaan Malaysia juga disyorkan untuk menyatakan langkah untuk menyelesaikan sejumlah isu yang dibangkitkan - akses untuk rawatan kesihatan, makanan, sokongan perundangan dan sosial, jenis bantuan yang diberikan kepada pekerja yang didakwa menjadi mangsa pemerdagangan manusia, dan keberkesanan langkah yang diambil untuk membanterasnya.

Susulan pendedahan PBB berhubung salah pengurusan pekerja Bangladesh di Malaysia pada 19 April, kerajaan negara itu menyuarakan hasrat untuk berjumpa dengan kerajaan Malaysia bulan ini untuk membincangkan isu pengambilan pekerja Bangladesh di negara ini.

Malaysiakini telah menghubungi Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan sedang menunggu maklum balas mereka.