Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuda PAS: Kenapa kena daftar Budi lepas daftar Padu?

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden hari ini menyoal mengapa mereka yang ingin menerima subsidi diesel perlu mendaftar dengan Program Bantuan Subsidi (Budi) Budi Madani.

Ini kerana kerajaan telah meminta orang ramai mendaftar di Hab Pangkalan Data Pusat (Padu) pada awal tahun yang juga bertujuan subsidi bersasar, kata ahli parlimen Alor Setar itu.

"Hari tu rakyat disuruh daftar dengan Padu. Menteri kata, siapa tak daftar Padu, nanti akan tercicir, tak dapat bantuan Kerajaan, tak dapat subsidi. Maka ramailah yang daftar Padu.

"Tiba-tiba hari ni Kerajaan umumkan rakyat yang layak kena daftar melalui Budi Madani pula untuk dapat subsidi, RM200 sebulan.

"Habis tu, data Padu tu jadi apa? Kenapa tak dipakai untuk dapat subsidi ni? Kenapa rakyat kena daftar lagi," soalnya pada hantaran di media sosial.

Malam tadi, Kementerian Kewangan berkata penerima yang layak akan menerima RM200 sebulan sejajar dengan subsidi diesel bersasar.

Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh memohon melalui kategori Budi Individu manakala pekebun kecil boleh memohon melalui Budi Agro-Komoditi, katanya.

Permohonan boleh dibuat melalui https://Budimadani.gov.my.

Pada masa sama, Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan pada kenyataan berasingan berkata pekebun kecil yang layak perlu mendaftar menggunakan Sistem GeoAgro di https://geoagro-register.kpkm.gov.my sebelum memohon bantuan di laman web Budi.

Sementara itu, Afnan berkata, ramai pekebun kecil tidak akan dapat menuntut subsidi berkenaan kerana kriteria memerlukan jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.

"Tak cukup dengan itu, petani tadi mesti ada pendapatan sekurang-kurangnya RM4,166 sebulan. Atau RM50,000 setahun. (Syarat untuk layak dapat subsidi, mesti ada pendapatan RM50,000-RM300,000 setahun, itu yang depa maklum).

"Kalau tauke-tauke, senang-senanglah depa (mereka) dapat jumlah sebanyak tu. Tapi kalau petani di kampung kampung yang jual di pasar pagi, di pekan hari, di tepi jalan, tak mudah nak dapat jumlah sebanyak itu. Bahkan ada yang tak pernah dapat jumlah sebanyak tu sebulan.

"Soalannya, siapa yang sebenarnya yang dapat manfaat besar daripada penyasaran subsidi ni? Tauke besar atau kuli di kampung," soalnya lagi.

Selain itu, Afnan turut menyindir mengenai komunikasi rentas kementerian dalam pentadbiran kerajaan dan penyelarasan antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

Ketua Pemuda PAS itu merujuk jawapan parlimen daripada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang mengatakana Padu akan menjadi sistem di semua kementerian untuk mengeluarkan subsidi dan bantuan lain kepada rakyat Malaysia.

"Tak bincang bagi elokkah antara menteri kewangan dengan menteri ekonomi? Sesama hangpa (kamu semua) ni tak ada group whatsapp kah?

"Atau menteri ekonomi tu dah left group whatsapp," katanya.