Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib halang siasatan terhadap 1MDB ketika jadi PM - pegawai SPRM

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

KES 1MDB | Seorang pegawai penyiasat SPRM berkata Najib Razak ketika menjadi perdana menteri mengambil banyak tindakan untuk menghalang siasatan SPRM terhadap skandal 1MDB.

Nur Aida Arifin berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.27 bilion terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Namun, Nur Aida mengakui tiada bukti terus berhubung dakwaan tindakan itu, yang antaranya melibatkan keputusan peguam negara ketika itu, Mohamed Apandi Ali memutuskan "tiada tindakan lanjut (no further action, NFA)" ke atas siasatan terhadap Najib.

Pemeriksaan balas hari ini antaranya menyentuh soal siasatan SPRM dan polis terhadap skandal 1MDB ketika Najib menjadi perdana menteri.

Nur Aida: Antara tindakan diambil ketika Datuk Seri (Najib) ketika jadi perdana menteri adalah tukar ketua pesuruhjaya (SPRM), tukar pegawai SPRM, tangkap pegawai SPRM, Apandi buat keputusan NFA walaupun SPRM cadang dapatkan maklumat lanjut (untuk siasatan). Ini tindakan untuk menghalang SPRM.

Shafee: Itu salah tanggapan.

Selepas didesak Shafee berhubung sama ada dia menyatakan Apandi menerima arahan daripada Najib, Nur Aida bersetuju.

Mohamed Apandi Ali

Nur Aida mendakwa, ketika siasatannya, SPRM merampas apa yang didakwa sebagai salinan nota perbincangan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Dakwanya lagi, salinan itu dirampas daripada bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin dan kandungannya serupa dengan tindakan yang telah diambil untuk menghalang siasatan.

Shafee: Puan ada bukti ini (dilakukan atas) arahan Najib?

Nur Aida: Ia akhirnya berlaku (kandungan yang didakwa nota perbincangan Jho Low).

Shafee: Ada bukti untuk tunjuk Low buat (atas) arahan Najib?

Nur Aida: Tiada keterangan terus.

Shafee: Andaian.

Nur Aida: Tidak, kerana apa yang dinyatakan (dalam nota Jho Low) berlaku. Amhari pernah jadi pegawai (khas) Najib.

Prosiding semakin panas apabila Shafee menuduh Nur Aida "bercakap seperti di kedai kopi".

Nur Aida bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan berkata walaupun dia tiada bukti terus, keseluruhan siasatannya menunjukkan langkah menghalang siasatan SPRM memang berlaku.

Ketika Shafee bertanya jika dia tahu SPRM baru-baru ini merampas sejumlah dana - yang didakwa daripada 1MDB atau Jho Low - daripada Amhari, Aida berkata dia tidak tahu berkenaannya.

Pada 8 Februari lalu, SPRM mengumumkan pihaknya sejak tahun lalu hingga bulan tersebut telah berjaya mendapatkan semula dana dan aset berkaitan 1MDB berjumlah RM23 juta.

Kata SPRM, antaranya adalah wang berjumlah AS$972,251.25 (bersamaan RM4,551,399.45) yang dipulangkan kepada kerajaan menerusi penyerahan secara sukarela oleh Amhari menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.

Perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

[Baca berita asal]