Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pinda cara tidak demokratik PKR lantik pengerusi negeri'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Veteran PKR Hassan Abdul Karim mencadangkan parti itu supaya meminda peruntukan di bawah perlembagaannya yang kini memberi hak prerogatif kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai presiden untuk melantik 14 pengerusi negeri.

Ketika dihubungi, Hassan berkata walaupun PKR adalah parti demokratik yang membolehkan semua ahli memilih presiden dan ahli majlis tertinggi, namun amalan semasa adalah presiden berkuasa melantik pengerusi negeri.

Hassan Abdul Karim

“Amalan ini perlu diubah. Perlembagaan PKR perlu dipinda dalam Kongres Nasional Khas supaya meminda iaitu bukan presiden yang memilih pengerusi ngeri bagi Majlis Pimpinan Negeri (MPN),” kata ahli Parlimen Pasir Gudang itu kepada Malaysiakini hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan terhadap PKR oleh peguam hak asasi Charles Hector Fernandez, bahawa amalan itu telah menimbulkan kebimbangan kerana parti itu kini menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

“Kita perlu pertimbangkan semula perlembagaan parti, kerana ia boleh menunjukkan jenis kerajaan yang bakal  kita perolehi jika kita mengundi parti itu menjadi kerajaan.

“Perlembagaan menunjukkan nilai dan prinsip yang diperjuangkan parti politik itu - demokrasi atau .... (sebaliknya),” kata Fernandez dalam catatan di blog semalam.

Charles Hector Fernandez

Fernandez, yang mempersoalkan komitmen kerajaan terhadap reformasi institusi, termasuk mengenai mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan yang telah sekian lama dijanjikan, memetik Fasal 21.7 perlembagaan PKR yang turut memperuntukkan pelantikan politik dalaman lain termasuk untuk mengisi jawatan setiausaha agung yang kini disandang Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Dia menegaskan bahawa Saifuddin juga adalah seorang senator yang dilantik dan bukannya ahli parlimen yang dipilih secara demokrasi.

Mengulas lanjut, Hassan berkata kuasa melantik pengerusi negeri PKR perlu dikembalikan kepada semua ketua cabang negeri melalui undian sulit yang diadakan semasa mesyuarat MPN yang pertama sebaik sahaja selepas Kongres Nasional tahunan.

“Fasal ini mesti dimasukkan dalam perlembagaan baru PKR menggantukan peruntukan undang-undang yang tidak demokratik yang wujud dalam perlembagaan PKR sejak ia ditubuhkan pada tahun 1999. 

“Pindaan ini penting dalam menjadikan PKR sebuah parti politik yang adil dan demokratik dan dapat mengurangkan kuasa autokratik yang ada pada presiden seperti sekarang ini,” katanya.

Hassan berkata, ini adalah satu bentuk reformasi bagi PKR yang melaungkan slogan reformasi sejak selama 25 tahun. 

“Kini sudah sampai untuk berubah supaya PKR lebih segar, popular dan benar benar mengamalkan demokrasi,” katanya lagi.

Pada Ahad lalu, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil mengumumkan bahawa majlis pimpinan pusat parti yang diketuai oleh Anwar telah merombak kepimpinan negeri, dengan pertukaran dibuat berhubung beberapa pengerusi dan timbalan pengerusi. Antaranya, di Sabah, Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan.

Pada 2022, berikutan pemilihan parti PKR yang diadakan menjelang pilihan raya umum ke-15, Anwar mengagihkan jawatan pengerusi negeri di semenanjung antara imbalan presiden parti, Rafizi Ramli, dan naib presiden Chan Lih Kang, Nurul Izzah Anwar, Nik Nazmi Nik Ahmad, Aminuddin Harun dan Amirudin Shari.

Dia turut menamakan Ketua PKR Keningau Sangkar Rasam sebagai Pengerusi PKR Sabah, yang kini digantikan oleh ahli Parlimen Sepanggar Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud, serta peguam Roland Engan yang dikekalkan sebagai pengerusi PKR Sarawak.