Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengarah urusan direman 4 hari kes ubah status tanah rizab Melayu

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan hartanah direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dakwaan rasuah untuk mengubah status tanah rizab Melayu kepada bukan rizab Melayu di Manjung, dekat Ipoh sejak 2012.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus mengeluarkan perintah reman terhadap suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu selepas membenarkan permohonan yang dibuat SPRM.

Menurut sumber, suspek ditahan pada tujuh malam tadi selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah membayar wang rasuah kepada seorang penjawat awam yang bekerja di pejabat tanah di sebuah negeri di utara tanah air bertujuan mengubah status tanah rizab Melayu kepada bukan rizab Melayu yang berkeluasan kira-kira 650 hektar.

Tindakan itu menyebabkan tanah rizab Melayu tersebut dipecah sempadan dan dipindah milik kepada syarikat dan individu bukan Melayu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (B) Akta SPRM 2009.

-Bernama