Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemandu bas sekolah mahu 'fleet card' SKDS 1.0 diganti bantuan tunai

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia mencadangkan agar kerajaan menyalurkan subsidi diesel kepada semua pengusaha sektor pengangkutan bagi kategori Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) melalui bayaran tunai seperti mana Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).

Presidennya Amali Munif Rahmat berkata ini kerana kaedah sedia ada menggunakan fleet card kepada penerima SKDS 1.0 sebelum ini mempunyai banyak kelemahan.

“Pada pendapat saya adalah lebih baik sekira fleet card diganti dengan bantuan tunai seperti mana subsidi kepada pemilik kenderaan persendirian.

“Penggunaan fleet card banyak mendatangkan masalah seperti kehilangan kuota subsidi secara tiba-tiba, sistem pembekal (stesen minyak) off-line dan ada pembekal tak terima fleet card,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api bermula dengan diesel membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Permohonan Budi Madani mula dibuka sejak semalam, membolehkan pemilik kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia daripada kumpulan B40 dan M40 yang layak akan menerima RM200 sebulan sebagai subsidi diesel yang disasarkan.

Budi Madani disasarkan kepada pemilik kenderaan persendirian dan pengusaha kenderaan pertanian yang menggunakan diesel.

Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan terus menyediakan subsidi kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel, melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Sepuluh kenderaan pengangkutan itu melibatkan bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, bas pengantara, bas mini, kereta sewa, teksi, van atau lori mayat, ambulans dan bomba.

Sementara itu Amali berkata, sekiranya bantuan tunai diberikan sekali gus pembelian diesel oleh mereka penerimaan adalah mengikut harga pam.

“Maknanya jika subsidi ditarik balik harga pam dinaikan mengikut harga pasaran semasa. Kami pemain industri juga akan beli dengan harga pasaran kerana sudah diberikan subsidi tunai.

“Objektifnya sama (beri subsidi) cuma mekanisme berbeza,” katanya.

Dalam perkembangan sama Persatuan Haulier Malaysia (AMH) pula menyambut baik pengumuman program SKDS 2.0 yang akan diperkenalkan kerajaan.

Setiausahanya Mohamad Azuan Masud berkata apa yang penting mekanisme itu dapat mengelak sebarang ketirisan subsidi selain menepati sasaran kerajaan untuk memberikan subsidi kepada pihak yang berkelayakan sahaja.

Katanya, hampir 90 peratus ahli AMH sudah berdaftar di bawah SKDS 2.0 bagi mendapatkan fleet card subsidi diesel sekali gus tidak memberi kesan terhadap kos perkhidmatan mereka.

“Pihak kami dan pemain industri lain dari awal lagi terlibat dengan perbincangan libat urus dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara dalam usaha dalam menjayakan rasionalisasi subsidi bahan api.

“Melalui SKDS 2.0 ini juga kerajaan dapat memantau penggunaan bahan api dan subsidi oleh pemain industri logistik.

“Program SKDS 2.0 ini juga diharap dapat membolehkan pemain industri kekal dengan kos logistik sedia ada tanpa menanggung kenaikan kos bahan api yang akhirnya akan memberi kesan kepada pengguna,” katanya.

Diminta mengulas mengenai cadangan supaya fleet card diganti dengan bayaran tunai, Mohamad Azuan berkata pihaknya tidak pasti mengenai perkara itu dan tidak mengulas lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!