Skip to main
Logo Malaysiakini

Saman Muhyiddin, Puad diselesai secara baik

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Saman fitnah oleh bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz merekodkan penyelesaian itu di mahkamah pagi ini, dengan syarat-syarat lain penyelesaian itu tidak didedahkan.

Puad dilihat membacakan kenyataan yang dipersetujui bersama sambil disaksikan oleh Muhyiddin. Kedua-dua ahli politik veteran itu kemudian dilihat berjabat tangan.

Peguam Muhyiddin, Rosli Dahlan memaklumkan mahkamah bahawa kenyataan yang dipersetujui itu akan disiarkan di akaun media sosial Puad.

Pada 1 Mac 2021, Muhyiddin memfailkan saman fitnah terhadap Puad berhubung satu hantaran Facebook yang mendakwa terdapat amalan double standard dalam pelaksanaan perintah kuarantin ketika wabak Covid-19 di negara ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga memperoleh injunksi ex-parte terhadap defendan pada hari yang sama. Beberapa hari kemudian, Puad memadamkan hantaran Facebook tersebut.

Semasa prosiding di mahkamah hari ini, Puad membacakan kenyataan yang dipersetujui tersebut. Peguam Puad, Mohd Shahril Madisa mengesahkan dengan Hayatul syarat penyelesaian itu.

Kenyataan yang dipersetujui itu adalah seperti berikut:

Pada 9.2.2021, saya telah menerbitkan kenyataan di Facebook saya berkenaan tempoh kuarantin di bawah Perintah Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021 yang dianggap tidak benar dan memfitnah oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY).

Pada 1.3.2021, TSMY telah menyaman dan mendapatkan injunksi ex-parte terhadap saya. Saya telah pun memadamkan kenyataan tersebut daripada semua laman media sosial saya.

Isu tersebut timbul pada ketika Negara mendepani pandemik Covid-19. Sejak daripada itu, Kerajaan telah berjaya membendung dan negara telah keluar daripada pandemik Covid-19.

Saya berterima kasih kepada TSMY kerana tidak memanjangkan lagi isu ini dan segala kesulitan amatlah dikesali.