Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan buat spekulasi harga barangan akan naik, kata menteri KPDN

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Armizan Mohd Ali menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kenaikkan harga barang susulan perlaksanaan subsidi bersasar bagi diesel.

Malah, katanya, tarikh sebenar pelaksanaan juga belum diputuskan oleh kerajaan.

Armizan Mohd Ali

“Jangan buat spekulasi sekarang. Tarikh sebenar subsidi bersasar belum lagi diumumkan dan kita akan umumkan strategi kita kemudian,” katanya kepada Malaysiakini.

Armizan berkata demikian ketika diminta mengulas apakah jaminan kerajaan bahawa harga barangan lain tidak akan naik susulan pelaksanaan subsidi bersasar bagi diesel kelak.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan rata-rata rakyat Malaysia masih resah dan bimbang akan kenaikan harga barangan berikutan perlaksanaan subsidi bersasar bagi diesel.

Hasil tinjauan juga mendapati jaminan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa pengguna kenderaan diesel komersial akan kekal mendapat subsidi belum cukup untuk melegakan hati rakyat.

Dalam pada itu, timbalan menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata rakyat tidak perlu resah dengan pengumuman kerajaan itu.

Katanya, spekulasi bahawa harga barangan akan naik adalah tidak berasas sama sekali.

“Rakyat tidak perlu resah kerana cerita-cerita berkenaan harga barang akan naik dan semua tuduhan itu tidak berasas.

“Kerana kita dalam proses mendaftarkan semua jenis kenderaan yang mengangkut barang-barang keperluan dan juga kita membuka pendaftaran untuk individu yang menggunakan trak atau lori pikap persendirian bagi mendapatkan subsidi tunai.

Fuziah Salleh

“Maksudnya kita menangani isu pengangkutan barang keperluan. Jadi, di mana munasabahnya (untuk peniaga) menaikkan harga barang?” soalnya ketika dihubungi Malaysiakini.

Fuziah berkata, kerajaan juga telah mengenal pasti sebanyak 23 jenis kenderaan yang akan menerima subsidi bahan api terbabit.

“Kemudian, kita juga dah buka pendaftaran untuk individu yang mempunyai kenderaan pikap.

“Contohnya, mereka yang berniaga di pasar malam, angkat barang dan dia gunakan pickup persendirian, dia tak beli kenderaan itu atas nama syarikat, jadi tiada sebarang alasan untuk nak naikan harga barang.

“Kerana semua kenderaan angkat barang kita bagi kad fleet dan subsidi tunai kalau persendirian, kalau syarikat kita bagi kad fleet,” katanya.

Fuziah bjuga mengingatkan bahawa KPDN mempunyai kuasa dan bertindak sekiranya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara sebarangan.

“Sekiranya berlaku keadaan di mana ada yang ambil kesempatan kita, sebab KPDN ini kita ada punca kuasa untuk mendapatkan dia punya harga disepanjang rantaian bekalan. Maksudnya daripada pengeluar sampai kos pengangkutan.

“Katakanlah sayur, sayur daripada ladang itu kita tahu dia punya kos pengeluaran, kos pengangkutan, kos borong, kos runcit dia dan kita ada punca kuasa berkenaan akta kawalan harga dan anti pencatutan.

“Maksudnya kita boleh guna akta itu dan kita telah pun gunakan dalam beberapa kes,” katanya dengan mengambil contoh pelaksaan penamatan kawalan harga dan subsidi ayam 1 November tahun lalu.

Menurut Fuziah, kerajaan juga mempunyai mekanisma dalam mengawal setiap kenaikan harga barang.

“Kita ada mekanisma untuk tentukan dia punya harga daripada awal sampai ke pengguna dan kita ada mekanisma untuk kira sama ada harga itu ada pencatutan atau tidak.

“Maksudnya, kita juga ada punca kuasa pula untuk ambil tindakan dan dalam kes ayam sebelum ini kita terus bagi notis.

“Jaminannya adalah kita akan pantau dan kita akan ambil tindakan sekiranya berlaku kenaikkan harga yang tidak munasabah,” katanya.

Pada 21 Mei, Anwar mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan subsidi bersasar diesel yang dijangka mampu membawa penjimatan kira-kira RM4 bilion kepada negara setiap tahun.

Menurut perdana menteri langkah tersebut akan dijalankan di Semenanjung Malaysia saja kerana keadaan berbeza untuk situasi di Sabah dan Sarawak.

Anwar menjelaskan langkah tersebut hanya memberi kesan kepada golongan kaya (T20) serta warga asing, manakala kelompok lain termasuk B40 akan tetap mendapat manfaat melalui pelbagai inisiatif kerajaan.