Skip to main
Logo Malaysiakini

Segera lapor jika jadi mangsa kes pemecahan lot tanah rizab Melayu - SPRM

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa pihak yang percaya mereka telah menjadi mangsa kes pemecahan lot tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu untuk segera membuat laporan kepada agensi itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kes seperti itu dari negeri-negeri lain dan menyifatkan apa yang berlaku di Perak baru-baru ini sebagai kes terpencil.

“Sekiranya SPRM menerima apa-apa maklumat atau laporan mengenai penyelewengan hal-hal berkaitan perkara jenayah yang menukar status tanah rizab Melayu kepada hak milik kekal (free hold) merupakan kesalahan jenayah yang sudah tentu kita akan lakukan siasatan,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) Azman Adnan.

Semalam, seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah ditahan SPRM untuk membantu siasatan kes pemecahan lot membabitkan kira-kira 650 hektar tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu di Mukim Manjong, Setiawan, Perak.

Difahamkan, syarikat suspek berusia 44 tahun itu dipercayai terbabit melakukan pemecahan lot tanah di mukim berkenaan menjadi tanah bukan Melayu, seterusnya dijual menjadi lot rumah dan banglo.

Siasatan SPRM juga mendapati sejumlah 317 lot dipecahkan kepada individu serta syarikat yang sebahagian besarnya adalah bukan Melayu.

Penahanan itu adalah rentetan kepada tangkapan seorang bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di Pejabat Tanah dan Galian Perak yang sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, bulan lalu.

- Bernama

S