Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Penjawat awam kanan’ didakwa diberi jawatan kepimpinan PKR

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Seorang pembantu Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mempersoalkan pelantikan seorang penjawat awam kanan dari Negeri Sembilan sebagai salah seorang daripada tiga ahli majlis pimpinan pusat (MPP) PKR yang baharu.

Ahmad Ikhwan Fadhli menekankan pelantikan Roslan Hussin - Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan - sebagai ahli MPP baharu PKR dengan jawatan pengarah latihan.

“Wow. Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan dilantik sebagai Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Ini memang terang-terang Penjawat Awam memegang jawatan tinggi dalam parti politik,” kata Ikhwan.

Dia seterusnya merujuk kepada surat pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2009 yang melarang penjawat awam kanan menyertai politik secara aktif, termasuk memegang jawatan dalam parti politik.

Dia juga mendakwa bahawa semakan di laman web PKR mendapati seorang ahli parti dengan nama "Roslan Hussin" yang mempunyai nombor telefon yang sama dengan pengarah pendidikan Negeri Sembilan.

Pelantikan Roslan diumumkan oleh ketua penerangan PKR Fahmi Fadzil pada Ahad, 26 Mei lalu bersama-sama dengan pertukaran beberapa pengerusi negeri, yang diputuskan dalam mesyuarat MPP.

Ketika dihubungi, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, yang juga adalah Ketua Wanita PKR, berkata dia dimaklumkan oleh Roslan bahawa dirinya tidak mengetahui pelantikan itu.

“Dr Roslan sendiri memaklumkan tiada sebarang makluman tentang pelantikan ini. Beliau tidak tahu menahu.

“Dia juga tidak menerima apa-apa surat lantikan atau apa-apa maklumat rasmi.

“Isu ini sedang diteliti. Garis panduan tetap akan dirujuk,” kata Fadhlina kepada Malaysiakini dalam mesej melalui pembantunya.

Malaysiakini telah menghubungi Roslan untuk mendapat ulasannya.

Awal hari ini, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dalam catatan di Facebook berkata poster palsu sedang diedarkan menggunakan namanya, kononnya mengucapkan tahniah kepada Roslan atas pelantikannya sebagai ahli MPP PKR.

“Setelah semakan dibuat, poster tersebut tidak dikeluarkan oleh mana-mana sektor/unit/PPD di Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

“Oleh itu pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa implikasi negatif akibat penyebaran poster tersebut,” katanya.