Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tak wajar Hadi salahkan media lapor kes jenayah ustaz, sekolah agama'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mengkritik Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mendakwa media digunakan untuk membesar-besarkan berita berkenaan kes salah laku di sekolah agama untuk memburukkan Islam.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak wajar, Lim mempersoalkan jika PAS membenarkan kes jenayah seperti itu tidak dilaporkan ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Kebanyakan media di Malaysia hanya menjalankan tugas mereka sebagai Kuasa Keempat untuk menyediakan maklumat yang dipercayai oleh rakyat.

“Selain itu, pendedahan jenayah oleh media boleh menghalang lebih ramai orang, terutamanya kanak-kanak, daripada menjadi mangsa (jenayah) baru,” kata ahli parlimen DAP itu dalam kenyataan hari ini.

Selasa lalu, Hadi mendakwa media sering digunakan oleh "seteru" untuk mencemarkan Islam dengan memperbesarkan kelemahan tokoh atau agamawan apabila mereka "terjerumus dalam kesalahan moral atau jenayah".

"Sekiranya terdapat berita dari sekolah agama, pondok, sekolah tahfiz ataupun seorang ustaz, imam, orang yang berkopiah, apa lagi mereka yang berjubah, ada yang sengaja diletakkan kopiah atau jubahnya, atau dipakaikan jilbab wanitanya.

"Keadaan ini laksana peribahasa, seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit," katanya.

Lim kemudian mempersoal jika PAS , ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan PN sebelum ini , pernah menghalang media daripada melaporkan berita seumpama itu.

“Hadi dan PAS pernah menjadi kerajaan pusat selama 33 bulan. Pada masa itu adakah PAS mengawal dan menghalang media daripada melaporkan hal-hal yang benar walaupun pahit?

“Adakah Hadi dan PAS telah melindungi dan membenarkan pelaku tersebut, sama ada mereka ada gelaran agama atau tidak, dan membenarkan mereka meneruskan aktiviti jenayah mereka?” soalnya.