Skip to main
Logo Malaysiakini

Johor kembangkan pelancongan kesihatan menjelang TMJ 2026

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Kerajaan Negeri Johor sedang giat menjalankan usaha mengembangkan sektor pelancongan kesihatan di negeri itu menjelang Tahun Melawat Johor (TMJ) 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata sektor pelancongan kesihatan menyumbang RM143 juta kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Johor tahun lepas dan dijangka akan terus meningkat seiring dengan pelbagai usaha yang sedang dijalankan untuk mempergiatkan sektor berkenaan serta kempen TMJ 2026.

“Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah EXCO pelancongan.

“Saya dan menteri besar telah berjumpa dengan pemain industri untuk meningkatkan pelancongan perubatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor di Jphor Bahru hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ling berkata sasaran utama pelancong kesihatan adalah dari Indonesia, terutamanya Kepulauan Riau.

Beliau berkata menteri besar juga telah melakukan lawatan ke Batam, Indonesia baru-baru ini dan berjumpa dengan pemain industri untuk membincangkan isu-isu yang boleh mempertingkatkan lagi sektor pelancongan kesihatan di negeri ini.

“Mudah-mudahan pada 2026 kita dah siap sedia…kita boleh menawarkan lebih lagi katil bagi mereka yang hendak menjalankan pemeriksaan kesihatan di Johor,” katanya.

Terdahulu dalam majlis itu, Onn Hafiz mengumumkan peruntukan RM300,000 kepada persatuan jururawat di negeri Johor, peningkatan berbanding RM200,000 tahun lepas.

- Bernama