Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepasan SPM tak minat perubatan membimbangkan - HDK

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Hartal Doktor Kontrak (HDK) hari ini melahirkan kebimbangan apabila pelajar lepasan SPM tahun 2023 dilaporkan tidak berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Ppurata ambilan siswazah perubatan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (Ipta) beberapa tahun kebelakangan ini sekitar 3,000 hingga 4,000 orang setahun, sedangkan Kementerian Kesihatan membenarkan pengambilan 4,820 orang setahun. 

Jurucakap HDK Dr Muhammad Yassin mengingatkan bahawa pengurangan bakal doktor boleh menjejaskan kualiti perkhidmatan perubatan, lapor Utusan Online.

“Secara umum memang ramai lebih suka ceburi bidang seperti pengkomputeran, fotografi dan perniagaan.

“Selain itu, ramai juga yang terpengaruh dengan dengan propaganda yang disebarkan dalam media sosial mengenai ‘tak sambung belajar pun boleh jadi kaya’. Ramai termakan dengan dakyah-dakyah seperti itu.

“Namun tidak dapat dinafikan, isu-isu dalam sektor perubatan itu sendiri menjadikan sebab mereka menjauhi sektor ini. Isu (perjawatan) kontrak, beban tugas, isu buli dan lain-lain lagi,” kata Muhammad kepada akhbar harian itu.

Pada Julai 2021, doktor kontrak kerajaan mengadakan mogok di seluruh negara untuk menuntut jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya yang lebih baik.

Protes yang diketuai oleh HDK itu disertai ratusan pekerja penjagaan kesihatan dari sekitar 15 hingga 20 hospital di negara ini.

Tinjauan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga mendapati hanya lima peratus kemudahan penjagaan kesihatan awam mempunyai tenaga yang mencukupi sekali gus berlaku lambakan tugas dan memanjangkan lagi tempoh menunggu.

Muhammad bagaimanapun berkata tiada paksaan untuk pelajar lepasan SPM untuk mengambil jurusan perubatan sekiranya tidak berminat.

“Sekiranya mereka tidak berminat, ibu bapa jangan paksa mereka hanya kerana mereka dapat keputusan yang baik dalam SPM. Nanti mereka akan rasa terbeban dengan tekanan kerja dan perkara itu yang menyumbang kepada mutu kerja yang tidak berkualiti.

“Namun, sekiranya berminat, maka insya-Allah mereka tidak akan rasa terbeban dan bekerja demi nawaitu sebagai seorang doktor,” katanya.

Sementara itu, Presiden MMA, Azizan Abdul Aziz dalam kenyataan menyarankan pelajar dan ibu bapa mengenali profesion perubatan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan melanjutkan pelajaran dalam bidang terbabit.

Katanya, mereka perlu sedar tentang cabaran dan komitmen yang terlibat dalam sektor kesihatan kerana walaupun kerjaya dalam bidang perubatan boleh memberikan kepuasan namun ia bukan untuk semua orang.

“Perubatan juga adalah salah satu kursus paling mahal dan pa­ling lama untuk diselesaikan. Kos belajar perubatan berjumlah antara RM250,000 hingga RM650,000 bergantung kepada universiti dan mengambil masa sekitar lima tahun untuk dihabiskan.

“Setelah menamatkan pe­ngajian, graduan perubatan dikehendaki menjalani latihan klinikal (HO) dalam sistem penjagaan kesihatan awam. Di peringkat ini, pelajar perubatan paling cemerlang pun tercicir kerana tuntutan kerja,” katanya.

Pada masa yang sama, Azizan berkata, pelajar yang menganggap perubatan sebagai kerjaya juga perlu cakna dengan sistem kontrak dan bersedia berkhidmat di mana-mana kemudahan penja­gaan kesihatan sebagai sebahagian daripada latihan mereka.