Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Najib dakwa derma Arab untuk halang pembangkang guling kerajaan’

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Najib Razak berkata dia pada mulanya menyimpan sebahagian daripada dana AS$681 juta–yang didakwa derma daripada kerajaan diraja Arab Saudi pada 2013–bagi menghalang cubaan pembangkang menggulingkan kerajaan.

Perkara itu didedahkan oleh Pegawai Penyiasat SPRM Nur Aida Arifin yang membacakan petikan kenyataan Najib yang direkodkan SPRM pada 2018 semasa siasatan terhadap isu 1MDB selepas pilihan raya umum ke-14.

Nur Aida–saksi ke-49 pihak pendakwaan–membacakan kenyataan Najib kepada SPRM berkaitan aliran dana itu kepada akaun bank tertuduh pada 2013, ketika pemeriksaan balas timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Kira-kira AS$620 juta dimasukkan dari akaun Najib ke akaun bank Tanore Finance Corporation di Singapura pada tahun sama.

Pasukan pembelaan Najib sentiasa mendakwa bahawa dana itu bukan duit dari 1MDB tetapi daripada kerabat diraja Arab untuk tujuan politik.

“Selepas PRU13 selesai, dana itu tidak boleh dihabiskan kerana perbelanjaan sudah cukup. 

“Baki selepas pilihan raya umum saya simpan sementara dalam akaun sebagai simpanan luar jangka jika ada keperluan khas, seperti insiden 16 September 2008, insiden ahli-ahli parlimen BN dicuri, ketika pembangkang cuba membeli mereka.

“Oleh itu, saya terpaksa bersedia secara kewangan walaupun saya tidak bersetuju dengan amalan ini, kerana takut kemungkinan pembangkang cuba lagi.

“Bagaimanapun, apabila tiada pergerakan sedemikian berlaku, saya rasa ada keperluan untuk kembalikannya kepada orang yang memindahkan wang ke dalam akaun saya, iaitu seseorang yang dilantik oleh Arab Saudi, Tanore Finance Corp,” kata Nur Aida yang membaca kenyataan Najib.

Pada pilihan raya umum ke-12 pada 2009, BN hilang penguasaan dua pertiga kali pertama dalam sejarah. 

Anwar Ibrahim, ketika itu ketua pembangkang, mendakwa mempunyai sokongan cukup daripada anggota parlimen untuk menukar kerajaan.

[Baca berita asal]