Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendakwaan tutup kes dalam kes RM2.27b 1MDB Najib

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Pihak pendakwaan hari ini menutup kes dalam kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB bernilai RM2.27 bilion terhadap Najib Razak, selepas enam tahun sejak bekas perdana menteri itu pertama kali didakwa pada 2018.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib petang tadi memaklumkan pihak pendakwa raya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menutup kesnya, selepas 50 saksi memberi keterangan untuk pendakwaan.

“Memandangkan tiada lagi saksi, dengan itu, kerana tiada lagi saksi yang perlu dipanggil oleh pihak pendakwaan dan tiada lagi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan, dengan itu saya ingin menutup kes pendakwaan.

“Setelah sekian lama, selepas 235 hari perbicaraan dalam tempoh enam tahun dan 50 saksi pendakwaan, pihak pendakwaan ingin menawarkan saksi-saksi ini (dalam senarai bertulis) kepada pihak pembelaan (dalam perbicaraan peringkat pembelaan jika pembelaan Najib dipanggil. )," kata Akram kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.

Hakim kemudiannya menetapkan 19 hingga 22 Ogos untuk hujahan lisan (yang tidak melibatkan saksi dan hanya melibatkan hujah lisan oleh pihak pendakwaan dan pembelaan). Mahkamah akan menetapkan tarikh kemudian untuk menyampaikan keputusannya sama ada Najib perlu membela diri terhadap 25 pertuduhan itu.

Pendakwa raya mendakwa Najib menerima RM2.27 bilion yang diselewengkan daripada dana 1MDB antara 2011 dan 2014.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan Najib berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui sebarang salah laku di 1MDB dan sebarang salah laku yang mungkin berlaku adalah semata-mata didalangi oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan ahli pengurusan 1MDB.

Najib yang juga bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB juga sebelum ini berhujah bahawa Raja Abdullah dari Arab Saudi menjanjikan sumbangan kewangan kepada tertuduh untuk tujuan politik.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Mengenai 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kementerian Kewangan Diperbadankan memiliki 1MDB sepenuhnya dengan Najib adalah pengerusi lembaga penasihat.

Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 Sept 2018, dan perbicaraan jenayahnya bermula pada 28 Ogos 2019.