Skip to main
Logo Malaysiakini

1MDB: Bekas CEO AmBank cuba sembunyikan salah laku, kata Zeti

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

BICARA 1MDB | Bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz berkata bekas ketua eksekutif AmBank, Ashok Ramamurthy cuba menyembunyikan salah laku di bank komersial itu sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Saksi pendakwaan tersebut memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dalam perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak melibatkan dana RM2.27 bilion 1MDB.

"Dia (Ashok) ingin menyembunyikan salah laku semasa tempohnya sebagai Ketua Eksekutif AmBank kerana jika dia telah melihat sebarang kesalahan semasa memegang jawatan itu, dia sepatutnya mengambil tindakan," kata Zeti di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pendakwa berhujah bahawa Najib menerima berbilion ringgit daripada 1MDB melalui AmBank.

Zeti berkata bank komersial itu tidak melaksanakan usaha wajar (due diligence) dalam beberapa transaksi berkaitan 1MDB, sehingga menyalahlaporkan jumlah yang terlibat semasa memalsukan laporan transaksi dalam sistem pemantauan perbankan negara.

Bekas gabenor BNM itu berkata bank pusat itu mengenakan denda terhadap AmBank pada tahun 2015 sebanyak 70 peratus disebabkan apa yang berlaku semasa tempoh Ashok memegang jawatan di AmBank.

Ashok menyertai bank itu pada tahun 2007 sebagai Ketua Pegawai Kewangan sebelum mengambil alih jawatan tertinggi pada tahun 2012. Dia meletakkan jawatan sebagai pengarah kumpulan pada Januari 2015.

Tuduhan terhadap Najib

Najib berhadapan empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB.

Bagi empat tuduhan salah guna kuasa tersebut, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan di cawangan AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011, dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 tuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kementerian Kewangan Diperbadankan memiliki sepenuhnya 1MDB di mana Najib ialah pengerusi lembaga penasihat pada masa tersebut.

Pertuduhan pertama terhadap Najib dilakukan pada 20 September 2018, manakala perbicaraan terhadapnya bermula pada 28 Ogos 2019.

Pihak pendakwaan menutup kes mereka hari ini. Mahkamah menetapkan hujahan lisan dari 19 hingga 22 Ogos.