Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pelaburan AS$2 bilion Google tingkatkan daya tarikan Malaysia'

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pelaburan terkini yang penting sebanyak US$2 bilion (RM9.4 bilion) oleh gergasi teknologi Google di Malaysia akan meningkatkan daya tarikan negara sebagai hab pusat data di rantau ini, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kerajaan harus memanfaatkan peluang ini untuk menarik lebih banyak pelaburan yang boleh meningkatkan kekompleksan dan kepelbagaian ekonomi Malaysia.

“Kemasukan Google dijangka meningkatkan daya tarikan Malaysia dengan ketara sebagai destinasi pilihan untuk pusat data. Malaysia menawarkan tanah yang luas, bekalan tenaga mampan dan tenaga kerja mahir, mewujudkan ekosistem yang ideal untuk syarikat yang ingin mewujudkan pusat data," katanya kepada Bernama.

Google telah mengumumkan pelaburan baharunya sebanyak US$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia, termasuk pembangunan pusat data pertamanya di negara ini dan rantau Google Cloud untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan awan di dalam dan di seluruh dunia, serta sebagai program literasi kecerdasan buatan (Al) untuk pelajar dan pendidik.

“Perkembangan ini akan memberi impak positif kepada pelbagai industri termasuk hartanah dan menjana permintaan untuk kabel kuasa, pencawang, perolehan mekanikal dan kejuruteraan, sistem pengudaraan dan penyaman udara,” tambahnya.

Mohd Afzanizam mengulangi bahawa penubuhan pusat data akan memberi kesan limpahan positif ke atas ekonomi, terutamanya dalam memupuk ekosistem teknologi yang lebih kukuh, memacu inovasi dan menggalakkan syarikat pemula niaga tempatan untuk bekerjasama dengan Google.

“Kerjasama di antara kerajaan, institusi pendidikan dan pemain industri akan menjadi kunci untuk memastikan manfaat pelaburan Google direalisasikan sepenuhnya, memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemajuan teknologi di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mohd Naz'ri Mahrin berkata pelaburan Google di Malaysia merupakan persediaan untuk meningkatkan keupayaan AI negara dengan ketara, memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.

“Penubuhan pusat data termaju akan memperkukuh infrastruktur pengkomputeran awan Malaysia, menyediakan asas yang kukuh untuk pembangunan dan penggunaan AI. Pelaburan ini dijangka memangkinkan penciptaan perkhidmatan dan produk dipacu AI, meningkatkan kecekapan merentasi pelbagai sektor dan mempercepatkan transformasi digital Malaysia,” tambahnya.

Beliau menjangkakan ekosistem AI yang berkembang maju, dengan syarikat pemula niaga dan syarikat teknologi mendapat manfaat daripada program pemecut dan inkubator Google.

"Ini akan memupuk persekitaran keusahawanan yang bertenaga, menggalakkan inovasi dan pertumbuhan," katanya.

Mohd Naz'ri berkata infrastruktur AI yang dipertingkatkan dan kumpulan bakat mahir akan menjadikan Malaysia lebih menarik kepada gergasi dan pelabur teknologi global, yang berpotensi meningkatkan kedudukannya dalam Indeks Inovasi Global.

“Perkongsian dengan institusi-institusi akademik seperti UTM akan terus menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam AI dan pembelajaran mesin, memasukkan kemajuan ini ke dalam landskap teknologi Malaysia,” tambahnya.

- Bernama