Skip to main
Logo Malaysiakini

Kongsi keserasian bantu bina hubungan Malaysia-China: Nurul Izzah

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

"Adalah luar biasa untuk mempunyai keserasian yang dikongsi, semangat persaudaraan, kerana itu penting dalam kami membina dan menjalin hubungan kami yang akan dapat menahan ujian masa," kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.

Dalam temu bual dengan Xinhua semasa lawatannya ke Beijing baru-baru ini, beliau berkata memandangkan tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 bagi hubungan diplomatik Malaysia-China, kedua-dua negara boleh meningkatkan kerjasama merentasi pelbagai sektor dan membina hubungan yang lebih kukuh.

"Ia lebih daripada sekadar hubungan perdagangan. Ia lebih daripada hubungan ekonomi. Ia adalah penghargaan bahawa kita berbicara mengenai cita-cita bersama, aspirasi bersama dan masa depan yang dikongsi untuk kebaikan bukan sahaja ekonomi dan KDNK per kapita semata-mata, tetapi kebaikan hubungan antara rakyat," katanya.

Semasa lawatannya ke China, Nurul Izzah berkata pengalaman pembasmian kemiskinan China sangat memberi inspirasi.

Beliau memberi tumpuan kepada kampung-kampung di Wilayah Shaanxi, barat laut China untuk "belajar daripada pemerkasaan ekonomi yang memberi manfaat kepada isi rumah, orang biasa serta program pembasmian kemiskinan yang telah berlaku di sana."

Di Shenzhen atau dikenali sebagai ibu kota inovasi China, Nurul Izzah yang terkesan dengan kemajuan teknologi berkata:”Kami ingin berkongsi kekuatan inovasi dan kemajuan dengan semua ahli kami," katanya.

China baru-baru ini memutuskan untuk melanjutkan kemasukan tanpa visa kepada 31 Dis, 2025 untuk warganegara termasuk Malaysia.

Menurut Nurul Izzah, ini menarik dan sangat penting kerana orang ramai diberikan dengan kemudahan perjalanan.

Melihat ke hadapan, Nurul Izzah menyuarakan harapan bahawa Malaysia dan China dengan kelebihan yang saling melengkapi, dapat mengeratkan hubungan dalam pelancongan, perdagangan dan pelaburan serta menjadikan hubungan itu lebih bermakna.

- Bernama