Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu hak cipta: MP Kampar buat permohonan lukis mural Pokemon

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Majlis Daerah Kampar (MDKPR) mengesahkan Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin telah menghantar permohonan untuk membuat mural tambahan yang memaparkan watak-watak animasi daripada francais Jepun popular, Pokemon.

Sebelum ini, projek mural di Kampar yang diusahakan Chong mencetuskan pertikaian berkenaan hak cipta melibatkan mural Dragon Ball yang masih belum selesai.

Menerusi emel kepada Malaysiakini, Yang Dipertua MDKPR Ahmad Suqairy Alias berkata pihaknya menerima permohonan kedua dari pejabat Chong pada 7 Mei untuk menambah lukisan mural.

Tarikh tersebut adalah sehari selepas Chong dan Adun Keranji Angeline Koo mempamerkan mural watak anime Dragon Ball di dinding bersebelahan pejabat cawangan DAP di Jalan Pejabat Pos, Kampar dan mencetuskan pertikaian hak cipta.

Menurut Suqairy, permohonan kedua itu untuk melukis mural pada dinding bangunan bernombor 80 dan 82 di Jalan Idris yang tidak jauh dari mural Dragon Ball.

Katanya, permohonan tersebut tidak menyatakan perincian mengenai mural yang dicadangkan dan hanya memaklumkan berkenan watak-watak Pokemon.

“Secara dasarnya, pihak pejabat Ahli Parlimen Kampar ada menyatakan cadangan bagi lukisan anime Pokemon di bangunan No. 80 dan 82, Jalan Idris dan pihak majlis tiada halangan bagi permohonan tersebut dengan memberi kelulusan bersyarat,” tambah Suqairy, tanpa menyatakan syarat-syarat tersebut.

Pokémon adalah francais multimedia Jepun yang dicipta Nintendo, Game Freak dan Creatures. Ia merangkumi permainan video, animasi, komik, permainan kad, mainan serta barangan cenderahati lain.

MDKPR juga kini sedang mempromosikan projek yang dinamakan Ilham Seni Kampar.

Suqairy berkata pihaknya telah melantik pasukan untuk melukis mural dengan tema berkisarkan ciri-ciri unik yang ada di Kampar, kawasan tarikan pelancong serta produk tempatan dan tidak melibatkan watak kartun.

Difahamkan dinding di sebelah bangunan bernombor 80 dan 82 di Jalan Idris yang dicadangkan pejabat Chong untuk lukisan mural Pokémon sudah mempunyai mural di bawah inisiatif Ilham Seni Kampar, antaranya memaparkan seorang Wanita memetik bunga teratai dan kegiatan rakit redah jeram.

Projek Virtual Reality Anime City

Suqairy menjelaskan pihak majlis daerah tidak terlibat dalam promosi mural watak anime mahupun projek Virtual Reality Anime City yang dijalankan pejabat Chong.

“Pihak MDKPR tidak menerima sebarang permohonan daripada pihak Chong untuk bersama-sama mempromosi Virtual Reality Anime City di Kampar,” katanya.

Dia turut menekankan majlis daerah hanya memberi kelulusan kepada Chong untuk melukis mural di lokasi yang disebutkan dan menjadi tanggungjawab pemohon untuk memastikannya tidak melanggar sebarang hak cipta.

Pemohon juga mesti mendapatkan kelulusan pemilik bangunan.

Kontroversi mural Dragon Ball bersebelahan pejabat cawangan DAP Keranji melibatkan bangunan empat tingkat dengan keluasan kira-kira 150 kaki persegi.

Mural itu juga mempunyai ciri interaktif. Dengan mengimbas kod QR, pengunjung boleh bergambar dengan watak di mural menerusi realiti terimbuh (augmented reality).

Pada 6 Mei lalu, Chong dan Koo berkata pihaknya akan membuat lebih banyak mural yang menampilkan watak-watak anime jika terdapat lokasi bersesuaian dalam usaha mereka menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke Kampar.

Bagaimanapun, minggu lalu Presiden Persatuan Harta Intelek Kreatif Malaysia (MYCIP) Lau Shaw Ming berkata walaupun mural itu tidak melibatkan sebarang bayaran daripada pengunjung, skalanya yang besar memerlukan kebenaran daripada pemegang hak cipta di Jepun.

Namun Chong ketika dihubungi enggan mengulas lebih lanjut, sementara Koo berkata persoalan pelanggaran hak cipta boleh dijelaskan dengan berunding dengan peguam.