Skip to main
Logo Malaysiakini

Bergelar datuk bukan halangan ambil semula SPM

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Kata-kata bijak pandai bahawa usia hanya deretan angka tepat digunakan untuk menggambarkan semangat Hamidan Yahaya yang menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 bagi subjek Sains pada usia 59 tahun.

Harian Metro melaporkan bahawa Hamidan yang juga merupakan pemandu awam di Kem 504 Askar Wataniah, Chuping di Perlis berjaya memperoleh keputusan B+ bagi subjek itu.

Hamidan yang sudah bergelar datuk berkongsi bahawa dia menelaah pelajaran pada waktu tengah malam di kediamannya di Jejawi, Arau kerana waktu lain rumahnya meriah dan riuh dengan kehadiran anak dan cucunya.

"Kali terakhir saya menduduki SPM pada zaman persekolahan adalah pada 1982. Ramai bertanya apa tujuan saya berbuat demikian sedang diri makin dimamah usia.

"Saya mahu dijadikan contoh kepada anak cucu bahawa diri ini masih mahu menimba ilmu walaupun sudah berusia.

"Kejayaan mendapat B+ dalam subjek Sains ini adalah suatu yang di luar jangkaan kerana hanya belajar sendiri dengan menggunakan buku dibeli anak selain kerap buat latihan. Tugasan harian menyebabkan saya sukar menghadiri kelas," kata bekas pelajar aliran Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, Kangar itu.

Bekas anggota tentera tidak berpencen yang pernah berkhidmat dengan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) itu tampil sebagai calon persendirian SPM buat kali kedua pada 2023.

Dia kali pertama menduduki SPM pada 2022 dengan mengambil subjek Matematik dan mendapat keputusan A.

"Saya lebih senang untuk mengambil setiap subjek secara berperingkat setiap tahun kerana agak sukar juga untuk saya memfokuskan banyak subjek dalam setahun,” katanya.

Hamidan berkongsi bahawa isteri dan anaknya tidak pernah menghalang atau memperlekehkan hasratnya menduduki semula SPM.

"Malah mereka terus menggalakkan saya untuk belajar kembali kerana bagi mereka ini adalah usaha murni dalam memperbaiki diri dalam bidang akademik.

"Semasa SPM 1982 dahulu, saya hanya memperoleh Pangkat Tiga namun saya berjaya mendapat A dalam subjek Pendidikan Islam.

"Disebabkan itu saya rasa inilah masa untuk memperbaiki kembali keputusan subjek yang lemah ketika itu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!