Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas presiden Umany gagal batal pertuduhan ingkar arahan polis

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini menolak permohonan bekas presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) Wong Yan Ke untuk membatalkan tuduhan mengingkari arahan polis yang dihadapinya.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha membuat keputusan itu selepas meneliti afidavit serta hujahan bertulis dan lisan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan.

"Mahkamah dengan ini menolak permohonan tersebut. Kes akan diteruskan dengan perbicaraan pada 26 dan 27 Jun ini," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmaa' Zamri manakala Wong diwakili peguam Shashi Devan.

Pada 13 Nov 2020, Wong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh ASP Lee Robert supaya berhenti membuat rakaman video secara langsung ketika polis membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan 17/48 di Petaling Jaya pada 7 Nov 2020.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sebulan atau denda maksimum RM400 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama