Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M disepina untuk beri keterangan di RCI Batu Puteh

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad disepina bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berkaitan isu Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Dr Mahathir dalam satu kenyataan mengesahkan dia akan menghadirkan diri di hadapan suruhanjaya itu pada 12 Jun ini.

“Saya akan hadir kerana diarahkan untuk berbuat demikian. Sebelum ini saya sendiri telah meminta untuk hadir di sepanjang prosiding ini apabila ia bermula pada 21 Mei 2024.

“Saya dan peguam saya menjangkakan kami akan dipanggil untuk menghadiri prosiding tersebut sepanjang ia dijalankan kerana saya merupakan pihak yang berkait dengan perkara yang dibincangkan oleh RCI tersebut,” katanya.

RCI itu bertujuan mengkaji pengendalian kes kedaulatan tiga pulau yang terletak di antara Johor dan Singapura.

Ia dijangka menyemak keputusan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir yang menggugurkan semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menganugerahkan pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Pada 27 Feb lalu, menteri undang-undang, Azalina Othman Said berkata RCI itu diberi kuasa untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap pihak yang enggan memberi keterangan.

"Antara kuasa ini ialah memanggil orang untuk memberi keterangan, mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka yang enggan berbuat demikian dan mengeluarkan denda," katanya dipetik The Star.

Azalina berkata RCI itu akan diberi masa sehingga enam bulan untuk menyelesaikan siasatannya, dengan laporan akhir akan dibentangkan di parlimen.

Mahu RCI diadakan secara terbuka

Mengulas lanjut, Mahathir berkata dia berharap RCI ini diadakan secara terbuka dan orang awam dapat mengikuti prosiding itu sepenuhnya.

Kata Mahathir, ini kerana sebelum ini pelbagai tohmahan dan tuduhan dituju kepadanya secara terbuka dan mendapat laporan media secara meluas.

“Tuduhan-tuduhan tersebut dibuat termasuk oleh ahli jemaah menteri sekarang antara lain bahawa saya membuat keputusan secara sembunyi-sembunyi dan secara sendirian.

“Jika semua tohmahan ini dibuat secara terbuka kenapakah jawapan dan penerangan saya perlu dibuat secara tertutup,” katanya.

Dia sekali lagi menegaskan kesemua keputusan yang dibuatnya adalah setelah mendapat nasihat dan pandangan daripada peguam dan pakar-pakar perundangan dalam dan luar negara termasuk yang dilantik oleh kerajaan terdahulu yang mahu isu Pulau Batu Puteh dirayu semula.

“Selain itu, sebelum keputusan dibuat, isu telah saya bawa ke kabinet.

“Terdapat di kalangan ahli-ahli kabinet ketika itu telah dilantik semula ke dalam kabinet kerajaan pada hari ini.

“Kerana itu adalah perlu untuk saya atau peguam saya hadir untuk mengikuti prosiding ini dari awal hingga akhir untuk mengetahui adakah kesemua yang terlibat di dalam membuat keputusan dipanggil. Jika tidak mengapa, dan jika ada, apakah yang mereka perkatakan.

“Jika tidak objektif RCI sebagai satu usaha fact finding agak pincang dan tersasar dari keadilan," katanya.

Peguam Mahathir sebelum ini berkata mereka mungkin menasihati bekas perdana menteri itu supaya tidak memberi keterangan di hadapan RCI berkenaan.

Ini berikutan dakwaan konflik kepentingan melibatkan bekas Ketua Hakim Negara, Md Raus Sharif dalam menjalankan tugasnya sebagai pengerusi RCI berkenaan.

Pada 2017, Mahathir memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keabsahan pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan kerana telah mencapai usia 66 tahun dan enam bulan.

Md Raus meletak jawatan apabila Mahathir memegang jawatan perdana menteri pada 2018.