Skip to main
Logo Malaysiakini

P Pinang jangka lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dari China

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Sebagai ‘Lembah Silikon Timur’ dengan dasar mesra perniagaan serta ekosistem elektrik dan elektronik (E&E), Pulau Pinang menjangkakan lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dari China pada tahun-tahun akan datang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata China telah meluluskan pelaburan di Pulau Pinang setakat 2023 berjumlah RM1.799 bilion dan menempatkan lebih 50 syarikat multinasional republik itu di seluruh negeri itu.

Beliau berkata hasilnya, ia telah mewujudkan sejumlah 1,998 peluang pekerjaan kepada penduduk di Pulau Pinang.

“Selaras dengan misi yang dinyatakan dalam Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), China mempunyai potensi untuk membantu agenda menetapkan semula perindustrian serta menarik pelaburan berkualiti tinggi.

“Faktor X China mungkin kuat dalam bidang pembuatan termasuk E&E dan Semikonduktor (Reka Bentuk IC dan Fabrikasi Wafer), pelaburan teknologi digital seperti analisis data raya, kecerdasan buatan dan robotik,” katanya pada resepsi sambutan Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara China dan Malaysia di George Town malam tadi.

Sementara itu, Konsul Jeneral China di Pulau Pinang Zhou Youbin pula berkata republik itu mempunyai keyakinan dan jangkaan penuh terhadap Pulau Mutiara menonjolkan ciri-ciri tempatan, merealisasikan kelebihan yang saling melengkapi serta memperkukuh kerjasama dengan wilayah serta majlis perbandaran di negara berkenaan.

“Projek seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang, Empangan Teluk Bahang dan peluasan Empangan Mengkuang adalah contoh kejayaan kerjasama pragmatik antara China dan Malaysia di peringkat subnasional,” katanya.

Beliau merumuskan bahawa sejak penubuhannya pada 2015, Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang sentiasa komited untuk memperdalam pertukaran dan kerjasama tempatan antara China dan Malaysia selain berusaha menyediakan sumber pemacu bagi pembangunan hubungan kedua-dua negara.

China ialah rakan perdagangan terbesar Malaysia dan sumber pelaburan langsung asing.

Pada 2023, China adalah antara lima sumber terbesar pelaburan asing di Malaysia dengan nilai pelaburan sebanyak US$3.15 bilion (US$1=RM4.707).

- Bernama