Skip to main
Logo Malaysiakini

Sistem pengurusan pekerja asing yang kontroversi diteruskan, kata sumber

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Kerajaan mengesahkan Bestinet Sdn Bhd akan meneruskan penggunaan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang kontroversi untuk tempoh tiga tahun lagi.

Bagaimanapun, syarat perjanjian dengan syarikat tersebut - yang memainkan peranan besar dalam pengambilan pekerja asing sejak bertahun lalu - masih tidak jelas.

Sumber industri yang bercakap dengan Malaysiakini berkata kerajaan akan mengekalkan kawalan yang lebih besar ke atas proses tersebut.

Ini termasuk mengurangkan jumlah yang diperoleh Bestinet bagi setiap pekerja, dari RM100 kepada RM80.

Menurut sumber kerajaan, kabinet pada 29 Mei telah bersetuju melanjutkan penggunaan FWCMS selepas menilai kertas yang dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Perubahan ini juga akan menjelaskan dengan lebih terperinci peranan dua kementerian yang menguruskan pekerja asing di negara ini.

“Kementerian Dalam Negeri akan memiliki sistem ini, manakala Kementerian Sumber Manusia akan menjadi pengguna akhir platform tersebut,” jelas sumber industri.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, ketika dihubungi semalam dan kelmarin, tidak memberikan respons ketika ditanya.

Malaysiakini juga telah menghubungi presiden Bestinet Aminul Islam Abdul Nor untuk mendapatkan komen.

Ketua Audit Negara dapati kelemahan dalam FWCMS

Keputusan kabinet ini dibuat selepas laporan Ketua Audit Negara 2022, yang diterbitkan tahun lepas, mendedahkan bahawa FWCMS mempunyai banyak kelemahan yang berpotensi dimanipulasi, dengan contoh konflik kepentingan dan pelanggaran tadbir urus serta kawalan.

Ketua Audit Negara juga tidak dapat menemukan kaedah yang jelas tentang bagaimana ia dapat dilaksanakan.

Walaupun sudah tujuh tahun beroperasi, masih tiada perjanjian ditandatangani antara kerajaan dan Bestinet, yang menyebabkan hak kerajaan tidak dapat ditentukan.

Yang penting, tiada kontrak ditandatangani yang memperincikan obligasi syarikat dan penggunaan tidak sah akaun Super Admin Kementerian Sumber Manusia oleh Bestinet, seperti dapatan juruaudit kerajaan.

Satu lagi faktor yang membimbangkan dalam hubungan antara Bestinet dan kerajaan ialah pengeluaran Surat Setuju Terima oleh Kementerian Dalam Negeri untuk membangunkan, membekalkan, menyediakan, dan menyelenggara FWCMS selama enam tahun dari 1 April 2018 hingga 31 Mei 2024.

Laporan Ketua Audit Negara menyatakan perjanjian ini melibatkan 14 modul yang bernilai RM1.049 bilion.

PAC juga dapati isu dengan sistem, kata sumber

Laporan Ketua Audit Negara mendorong siasatan ke atas mekanisme ini oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Bagaimanapun, penemuan daripada siasatan PAC mungkin terlambat untuk mempengaruhi keputusan pembaharuan.

Penemuan jawatankuasa tersebut hanya akan dibentangkan di parlimen apabila dewan bersidang pada akhir bulan Jun.

Menurut sumber, penemuan awal jawatankuasa tersebut juga mendapati terdapat isu dengan aplikasi FWCMS dan beberapa pemain utama.

Peranan dua kementerian dalam menguruskan FWCMS juga terjejas.

Pegawai Bestinet adalah antara mereka yang memberi keterangan di hadapan PAC.

Minggu lalu, dilaporkan bahawa kerajaan berada di bawah tekanan untuk memperbaharui perjanjian dengan platform yang dikaitkan dengan tuduhan pemerdagangan, walaupun kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim berhasrat merombak sistem tersebut.

Channel News Asia (CNA), memetik sumber kerajaan dan dokumen yang dilihat, melaporkan bahawa kontrak dengan Bestinet untuk mengendalikan FWCMS, satu-satunya platform yang digunakan oleh Jabatan Imigresen untuk permohonan visa dari 15 negara pembekal pekerja, akan tamat hari ini.

Sumber kerajaan memberitahu CNA bahawa Bestinet, sebuah firma yang dikawal secara persendirian dengan hubungan kuat dengan ahli politik terkemuka Malaysia dan sejarahnya yang kontroversi, menentang agenda reformasi oleh kerajaan membabitkan isu pekerja asing.