Empat ekor gajah ditemui mati, aktivis bimbang akibat diracun
Empat ekor gajah ditemui mati sebuah kampung di Kluang, Johor, baru-baru ini.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Damien Thanam Divean melahirkan rasa bimbang dengan kematian keempat-empat gajah terbabit kerana dikhuatiri akibat keracunan.
"Ia berkemungkinan ekoran gajah termakan racun, atau tindakan secara sengaja untuk meracuni (gajah terbabit) oleh pengusaha atau pemilik tanah," katanya kepada Malaysiakini.
Damien berkata kegagalan menguruskan konflik antara manusia dan hidupan liar secara berkesan boleh menyebabkan lebih banyak kematian dan kemusnahan harta benda.
Dia menegaskan manusia yang menceroboh habitat hidupan liar, bukan sebaliknya.
Dia turut mengkritik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan) ekoran kurangnya Pendidikan dan libat urus dengan pemilik tanah, petani dan pengusaha ladang dalam memelihara koridor hidupan liar.
Damien seterusnya mendakwa jabatan itu seolah-olah "membisu" apabila habitat semula jadi dimusnahkan dek pembalakan, perladangan, perlombongan dan projek pembangunan.
"Perhilitan tiada kuasa untuk secara tegas membantah dan menghentikan pemusnahan habitat hidupan liar, sumber makanan, tempat pembiakan dan laluan migrasi (hidupan liar)," katanya lagi.
Dia menyifatkan Perhilitan berisiko bertukar menjadi jabatan "penghantaran barang", yang hanya berperanan memindahkan hidupan liar dari satu zon konflik ke zon konflik yang lain.
Sehubungan itu, Peka menggesa kerajaan melaksanakan cadangan untuk melindungi warisan semula jadi Malaysia.
“Apa akan terjadi apabila kawasan baru itu menjadi sesak? apakah kajian yang dilakukan untuk menghindarinya dan apa yang boleh dilakukan apabila Perhilitan membisu apabila habitat baru (hidupan liar) diceroboh manusia dan dimusnahkan?” soalnya.
Mengalu-alukan tabungg pampasan untuk petani yang mengalami masalah tanaman rosak akibat hidupan liar - seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, Damien menekankan keperluan untuk langkah yang lebih baik dalam latihan, pembayaran cekap dan peningkatan kesedaran awam.
Dia berkata pada masa ini, pihaknya akan menunggu hasil siasatan Perhilitan sama ada kematian gajah tersebut tidak disengajakan atau ekoran tindakan jenayah yang memerlukan laporan polis dibuat.
“Perhilitan sepatutnya membuat laporan polis dan memberi kerjasama penuh dalam menentukan tahap jenayah yang dilakukan, jika ada," katanya lagi.
Katanya lagi, dia telah menyerahkan senarai cadangan kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) untuk tindakan segera bagi menjaga khazanah alam negara.
Agenda utama Peka ialah untuk menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memperkenalkan artikel baru berkaitan "pemuliharaan, pemeliharaan dan perlindungan warisan alam semula jadi negara", katanya.
Dia berkata ia akan memaktubkan tanggungjawab mewariskan alam sekitar yang baik kepada generasi akan datang.
Cadangan utama lain termasuk:
Memberi status perlindungan 100 peratus dalam kadar segera kepada semua spesies pendebunga seperti lebah, burung dan mamalia kecil yang penting untuk penghasilan makanan.
Pasukan petugas pelbagai agensi yang baru, diketuai Perhilitan bagi menguatkuasakan perlindungan tersebut.
Mengklasifikasikan semula sungai di Malaysia, iaitu untuk hanya membenarkan air bersih diambil dari sungai Kelas 1 hingga 3. Sungai tercemar kelas 4-5 dilarang untuk digunakan dan akan dipulihkan segera.
Menandatangani perjanjian "Sifar Pembasmian Hutan Menjelang 2030" yang mengikat, tanpa sebarang klausa pembatalan untuk kerajaan akan datang.
Memperkasakan Perhilitan untuk membantah pemusnahan habitat hidupan liar, menerusi kegiatan pembalakan, perlombongan, perladangan dan kuari yang menjejaskan koridor hidupan liar.
Mewujudkan dana khas untuk membayar pampasan kepada mangsa konflik manusia-hidupan liar seperti kerosakan tanaman dan ternakan yang dapa mengurangkan tindakan balas.
Peka menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan majoriti dua pertiganya di Parlimen, untuk menyegerakan cadangan-cadangan ini bagi memelihara warisan semula jadi Malaysia untuk generasi akan datang.
Siasatan sedang dibuat
Sementara itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata pihaknya bersama Perhilitan negeri sedang memantau secara rapat kes tersebut, yang melibatkan seekor gajah betina dewasa dan tiga ekor gajah jantan di sebuah ladang di Kahang Timur.
“Mereka sedang menyiasat serta telah mengambil sampel bangkai gajah untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Setakat ini, punca kematian kesemua gajah masih dalam siasatan Perhilitan,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Ling menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terlibat dalam konflik dengan haiwan liar seperti gajah.
Pengarah Perhilitan Johor Aminuddin Jamin pula dilaporkan berkata pihaknya akan menjalankan bedah siasat ke atas kesemua haiwan berkenaan bagi mengenal pasti punca kematian.
“Setakat ini kita belum dapat mengesahkan sama ada kesemua gajah ini mati akibat keracunan atau sebaliknya,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai