Skip to main
Logo Malaysiakini

'Sembilan penduduk gagal buktikan menetap di Kg Sri Makmur sejak 2006'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Sembilan penduduk yang mendakwa mereka penduduk asal Kampung Sri Makmur gagal membuktikan mereka telah menetap di kampung berkenaan sejak tahun 2006, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, A Rahim Kasdi.

Bagaimanapun Rahim (gambar bawah) berkata pihaknya sedia berbincang dengan penduduk yang kehilangan tempat tinggal untuk rancangan petempatan semula susulan perobohan dan pengusiran penduduk Kampung Sri Makmur.

"Pihak kami (pusat khidmat parlimen dan DUN) akan meneliti dan sedia berbincang dengan penduduk yang benar-benar hilang tempat tinggal.

"Cuma bagaimana cara itu belum diputuskan," katanya pada kenyataan kepada Malaysiakini.

Menurut Rahim, kerajaan negeri terikat dengan perjanjian antara pemaju dan PKNS untuk membayar pampasan kepada penduduk asal sahaja.

"Sembilan penduduk yang mendakwa mereka penduduk asal yang layak menerima rumah Selangorku dengan harga subsidi ini gagal membuktikan mereka telah menetap di Kampung Sri Makmur sejak 2006 atau sebelumnya.

"Kerajaan negeri terikat dengan persetujuan antara pemaju/ Pebadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang hanya akan memberi pampasan kepada penduduk asal.

"Isu agak 'complicated' sebab seperti yang sedia maklum ramai yang ambil kesempatan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Jay Jay Denis memberitahu Malaysiakini kerajaan negeri sedia untuk terima maklumat baru daripada mereka bahawa mereka terlibat dalam proses bancian tahun 2006 dan 2016.

"(Ini) supaya disampaikan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Gombak," katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Ketua Komuniti Penduduk Kampung Sri Makmur Mohd Azhar Ariff, 35 (gambar bawah) berkata pihaknya menyahut cabaran Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bagi membuktikan bahawa mereka adalah penduduk asal kampung tersebut.

Dia mengulas kenyataan Amirudin yang meminta baki penduduk yang terjejas membuktikan bahawa mereka adalah penduduk asal yang wajar mendapat penempatan semula.

"Kami menyahut cabaran Menteri Besar dan kini sedang mengumpulkan segala dokumen dan bukti seperti yang diminta.

"Kami akan hantar senarai nama (penduduk) dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui Malaysiakini semalam.

Pada Khamis lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata banyak peluang telah diberikan kepada penduduk kampung berkenaan sejak tiga tahun lepas.

Tambahnya, antara sebab tindakan perobohan itu dilakukan ialah banyak kehadiran warga asing mendiami kawasan tersebut.

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak pada satu kenyataan hari ini berkata tindakan pengusiran dan perobohan penempatan setinggan yang menceroboh tanah hak milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 27 dan 28 Mei lepas itu dibuat mengikut prosedur.

PDT Gombak memaklumkan perobohan itu berdasarkan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Mei 2024.