Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersatu akan maklumkan speaker 6 MP dilucut keahlian

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Bersatu akan memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul mengenai enam wakil rakyat daripada parti itu yang telah dilucutkan keahlian mereka.

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara itu akan dimaklumkan dalam sidang dewan rakyat pada bulan ini.

Ini selepas enam ahli parlimen itu enggan mematuhi arahan supaya menyatakan ikrar taat setia kepada parti.

“Logiknya, kami akan menulis kepada speaker Dewan Rakyat bahawa keahlian mereka telah dilucutkan.

“Ada tertulis dalam perlembagaan (parti) bahawa mereka perlu dilucutkan keahlian mereka (jika mereka tidak mengembalikan surat Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi yang sudah ditandatangani sebagai ikrar taat setia).

“Ia sama seperti perlembagaan parti Umno dan DAP... keahlian mereka secara automatik akan dilucutkan,” kata Wan Ahmad Fayhsal kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang diambil terhadap enam ahli parlimen dan dua Adun yang tidak menjawab surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin kepada semua ahli parti itu bagi menuntut mereka menyatakan kesetiaan kepada parti.

Wakil rakyat yang dimaksudkan ialah mereka yang sebelum ini mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Enam ahli parlimen itu ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Manakala dua Adun terbabit ialah Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari dan Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim.

Jawapan tak memuaskan

Pada Jumaat lalu dilaporkan bahawa sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk untuk membincangkan respons yang diterima daripada wakil rakyat berkenaan.

Turut dilaporkan bahawa surat yang diterima tidak memuaskan parti itu.

Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengingatkan wakil rakyat parti itu bahawa keengganan untuk akur arahan Majlis Pimpinan Tertinggi parti akan menyebabkan status keahlian mereka ditamatkan secara automatik.

Katanya, ini berdasarkan Perkara 10.4 Perlembagaan Bersatu yang dipinda baru-baru ini.

“Seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) telah menandatangani surat berkenaan dan menghantarnya kembali kepada Setiausaha Agung Bersatu dalam tempoh 14 hari.

"Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi ini dibuat selaras dengan pindaan Perlembagaan Bersatu yang telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini serta menepati kehendak Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai antilompat parti," katanya.