Skip to main
Logo Malaysiakini

Jabatan Pendidikan Pahang siasat komen guru isu undi bukan Islam

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Menjawab komen kontroversi seorang guru di Pahang, Menteri Pendidikan Fadhilina Sidek mengumumkan bahawa kes itu kini dalam siasatan.

Dia mengesahkan bahawa Jabatan Pendidikan Pahang dan unit integriti kementerian sedang menyiasat perkara itu.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa sahaja yang telah dibuktikan melanggar peraturan tatatertib berdasar kepada peruntukan yang ditetapkan," katanya kepada Malaysiakini.

Setiausaha politik Fadhlina, Atiqah Syairah Shaharuddin sebelum ini membuat kenyataan berhubung isu sama pada 2 Jun lalu.

Atiqah berkata, dia menerima aduan mengenai komen menyinggung perasaan itu, dibuat dalam akaun Facebook yang didakwa dikaitkan dengan seorang guru, dan meminta unit integriti kementerian mengambil tindakan termasuk menggantung individu itu daripada tugas.

“Kegusaran daripada pihak ibu bapa dan masyarakat adalah bagaimana guru yang juga berstatus penjawat awam ini tergamak mengeluarkan komentar sedemikian rupa.

"Tohmahan yang dangkal namun berat ini dibimbangi menjadi racun yang akan terus membarah dan berlapikkan alasan yang berselindung di sebalik pegangan kebebasan bersuara,” kata kenyataan itu.

Dalam tangkapan skrin yang dilihat Malaysiakini, seorang pengguna Facebook mengulas siaran Berita Harian tentang Selangor mula menumpukan pengajaran kepada kitab Turath - atau istilah lainnya ‘kitab kuning’, yang merupakan kitab-kitab tradisional yang berisi pelajaran-pelajaran agama Islam oleh ulama silam - dalam mengembangkan khazanah ilmu Islam.

Komen yang ditulis dalam bahasa Melayu itu secara sinis menyatakan tidak guna seseorang itu mempelajari pelbagai kitab agama jika akhirnya mengundi bukan Islam.

Tanpa menyebut sesiapa secara khusus, ulasan itu mendakwa bahawa sesetengah individu berpura-pura mengikuti petunjuk Nabi Muhammad tetapi berpegang kepada ajaran agama lain, itulah sebabnya surah (surah) Al-Kafirun wujud.

Al-Kafirun adalah surah ke-109 dalam al-Quran. Ia mengandungi enam ayat dan menyentuh mengenai orang kafir (Kafirun).

Fadhlina mengingatkan guru-guru bahawa penjawat awam wajib mematuhi peruntukan ditetapkan termasuk ketika menggunakan media sosial.

“Media sosial perlu digunakan dengan penuh bertanggungjawab dan berdasar kepada garis panduan nilai dan etika yang sedang berkuat kuasa,” tambahnya.