Skip to main
Logo Malaysiakini

Penyokong kebebasan media kecam cadangan perluas Akta Mesin Cetak

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) yang terus wujud dan cadangan memperluaskan rangkumannya mendapat kritikan daripada penyokong kebebasan media yang menganggap ia sebagai sebagai alat untuk mengawal media negara.

Ketika dihubungi, penyelaras Projek Sinar Khairil Yusof menekankan penggunaan AMCP kerajaan sebelum ini untuk menekan media berita cetak tradisional.

Sambil menyatakan kebimbangan terhadap cadangan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk meluaskan akta itu kepada media dalam talian, Khairil bimbang ia akan mengetatkan kawalan kerajaan dan mengancam kebebasan media di platform digital.

“Ini memberikan kementerian kuasa luas untuk mengharamkan apa-apa yang mereka anggap tidak diingini,” katanya mengingatkan, sambil menekankan risiko ia beri kesan terhadap kebebasan bersuara.

Semasa pemerintahan bekas perdana menteri Dr. Mahatir Mohamad pada 1980-an, AMCP telah dipinda untuk mengwajibkan penerbit memohon lesen tahunan, dan akhbar seperti The Star, Sin Chew Jit Poh, dan Watan telah digantung semasa Ops Lalang.

Khairil mengaitkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dengan penapisan politik, melihat cadangan meluaskan AMCP sebagai satu lagi percubaan untuk menyekat kebebasan media dalam talian.

"Kebimbangan kami ialah implikasi bahawa ini akan menjejaskan kebebasan bersuara dalam talian untuk penerbit kandungan secara amnya," katanya.

Jurucakap kumpulan pengamal media Geramm Radzi Razak berkongsi kebimbangan sama, mengecam sebarang usaha untuk mengembangkan AMCP sebagai langkah regresif terhadap kebebasan media.

Dia menekankan bahawa AMCP sebelum ini sering digunakan untuk menyekat kebebasan media sebelum kemunculan platform dalam talian.

“Segala usaha untuk meluaskan atau mempertingkatkan akta itu dilihat sebagai instrumen kawalan yang tidak sepatutnya dibincangkan kerana kerajaan kini mengawal media melalui cara lain," katanya.

Radzi memberi amaran bahawa jika kerajaan meneruskan cadangan kontroversinya, ia akan menjejaskan kebebasan media dengan ketara.

Pada 2 Jun, Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan Ahirudin Attan melabelkan cadangan meluaskan AMCP sebagai "tidak berotak" dan menggesa kerajaan untuk memansuhkan akta itu.

Dia sebaliknya mencadangkan peralihan tumpuan ke arah menangani kebimbangan mengenai berita palsu.

Sementara itu, pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Wathshlah Naidu berkata ketidakrelevanan akta itu dalam konteks hari ini sepatutnya diterjemahkan kepada memansuhkan dan bukannya meluaskannya.

Katanya, dengan media sudah berada di bawah tekanan besar terhadap peraturan dan perkembangan dalam dunia digital, kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada menyediakan persekitaran di mana media boleh berkembang maju.

Dia mencadangkan memberi tumpuan kepada penubuhan dan memperkasakan majlis media untuk mengharmonikan piawaian dan menerima pakai kod selaras dengan piawaian antarabangsa dan amalan baik.