Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Keramat seorang 'wali'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

KOMENTAR | Kami hanya mengenalinya sebagai Wali. Orang kampung memanggilnya Tok Wali. Asal usulnya kami tidak ketahui. Ada yang kata dia berasal dari Pasir Mas. Ada juga yang kata Wali dari Rantau Panjang.

Ada pula salasilah mengatakan Wali asal Siam tapi jalur keturunannya dari Makkah.

Entah betul entah tidak. Kami tidak dibenarkan untuk membantah cerita yang tersebar di kampung kami.

Apa pun ceritanya wajah Wali tidak jauh berbeza daripada muka kami yang berasal dari Kelantan. Kulit sawo matang, hidung tidak tinggi dan fizikal juga amat sederhana.

Yang membezakan Wali daripada kami di kampung ialah kewaliannya.

Wali bukan kaki sembang kedai kopi. Wali bukan kaki pangkah gasing atau laga ayam di kawasan sempadan. Wali adalah wali – insan yang dikaitkan dengan kesungguhan beragama.

Kerana zuhudnya, maka tersebar cerita kewalian Wali yang luar biasa.

Ketika orang kampung melihatnya sedang menadah kitab di sebuah pondok, pada masa sama ada yang melihat kelibat dia di seberang Sungai Golok berdakwah kepada orang bukan Islam.

Jadi jemputan baca doa

Dan, jangan terperanjat – pada masa sama ada orang Kelantan yang sedang tawaf di Baitullah mendakwa mereka ternampak Wali sedang berdoa memohon di Masjidil Haram.

Sekali lagi kami diajar untuk tidak membantah cerita adiwira Wali. Buat seketika kami anggap ia sesungguhnya sebuah kisah benar walaupun hati membantah.

Cerita kelibat Wali yang ditemui beberapa orang di pelbagai tempat pada masa yang sama sudah menular di banyak kampung. Cerita ni berulang-ulang macam drama TV3 menjelang Maghrib.

Ramai yang taasub akan kewalian Wali.  Ramai juga ustaz dan lebai yang bersurah tentang kehebatan Wali dengan alasan "urusan Allah tiada siapa yang berhak menafikan."

Saya hanya menemui Wali secara kebetulan ketika menghadiri majlis doa selamat di Kampung Gua, Salor pada 1978. Ketika itu untuk beberapa bulan Kelantan diperintah BN menerusi pilihan raya khas negeri ekoran situasi politik yang tidak terkawal.

Ketika itu emosi rakyat marah kepada PAS yang dikatakan gagal mentadbir negeri dengan baik. Wali dijemput membaca doa pada majlis itu dengan harapan keberkatannya dapat membantu mengamankan desa yang dipenuhi sawah padi.

Ancaman tikus dan kemarau kerap menjejaskan hasil pesawah.

Gambar hiasan

Seseorang membisikkan saya: "Jangan banyak sembang, dengar saja apa kata wali dan aminkan doanya.”

Sebaik bersalaman dengan kami yang hampir 30 orang, Wali turun ke sawah untuk berwuduk dengan air yang mengalir bersih dari tali air.

Kami hairan kerana tidak pernah melihat orang Kelantan berwuduk di sawah ketika di kaki lima rumah tersedia paip yang membekalkan air untuk keperluan orang ramai.

Saya hanya memerhati dan tidak mempersoalkan apa-apa kerana siapalah saya di sisi Wali yang dianggap tinggi oleh masyarakat setempat.

Ruang rumah sunyi ketika Wali baca doa. Masing-masing mengharapkan darjat kewalian Wali boleh membantu penduduk mengatasi ancaman tikus dan kemarau.

Doa orang alim tentunya lebih mustajab daripada doa orang biasa. Hal itu saya kerap dengar dalam ceramah ustaz yang juga mubaligh PAS pada setiap pagi Jumaat di masjid kami.

Wali sudah jadi keramat

Cerita Wali reda apabila saya melangkah meninggalkan kampung untuk mencari rezeki di tempat lain. Saya tidak lagi mendengar cerita Wali kerana di Kuala Lumpur kisah pengikut Al-Arqam tidak kurang warna-warninya.

Al-Arqam boleh dianggap lebih bahaya kerana berkumpulan dan ramai pengikut. Ia berbeza daripada Wali yang tidak mempunyai pengikut setia, justeru dia dianggap kurang membebankan unit risikan Bukit Aman.

Ketika hampir melupakan Wali tiba-tiba wajahnya muncul di akhbar nasional muka depan. Saya tenung dan tilik betul-betul. Memang sah, itulah orang yang berwuduk dalam sawah dulu.

Kali ini dia akan bertanding pilihan raya menentang Tengku Razaleigh Hamzah.

Saya tidak tahu adakah Wali dipilih menjadi calon PAS kerana dia ahli parti, atau pemilihan itu ada kaitan dengan kewaliannya untuk berdepan 'gergasi' Gua Musang.

Gambar hiasan

Sebaik sahaja kempen pilihan raya bermula, mitos kewalian yang saya dengar bertahun-tahun dahulu berligar semula. Orang yang kononnya ulama, guru dan ustaz menjaja cerita tentang kewalian yang diturunkan oleh Allah untuk membantu menawan Kelantan daripada Umno.

Cerita Wali ditemui di Pasir Mas, pada masa sama terserempak dengan orang lain di Golok dan Makkah bertebaran dan berulang-ulang. Wali sudah dikeramatkan.

Tengku Razaleigh yang dikaitkan sekular kononnya  semakin lemah dan gagal menghalang kemaraan perjuangan Islam.

Ada dongeng yang tersebar kononnya pagar kediaman Tengku Razaleigh di Palm Manor Kota Bharu retak kerana keramat kewalian wali.

Cerita itu mudah tersebar kerana Melayu mudah mempercayai karut-marut yang wujud sejak zaman animisme.

Keputusan pilihan raya yang memberi kemenangan besar kepada Tengku Razaleigh berjaya mematikan cerita Wali yang entah dari mana asal-usulnya itu.

Wali sudah tiada namun dalam jiwa Melayu yang masih lemah, kepercayaan kepada orang yang kononnya alim tidak pernah mati.

Mudah percaya pada orang

Sejak dunia mengenal teknologi digital dan media sosial, cerita dan dongeng orang bergelar ustaz sukar dibendung. Mereka bukan saja meninggikan piramid sehingga hampir dua kilometer, bahkan  mendedahkan kisah cinta Nabi Muhammad dengan seseorang yang terlalu taasub.

Adakah Nabi memang begitu sifatnya wahai ustaz?

Tersebar juga ceramah yang menghukum pihak lain sesat kerana menghalang individu tertentu berceramah di beberapa negeri.

Hal ini sepatutnya dihujah dengan bukti ilmiah kerana sebarang majlis ilmu di ruang solat masjid dan surau seharusnya membabitkan individu berilmu dan bukan semata-mata populariti di media sosial.

Hari ini ajaran sesat dan taasub kepada orang yang konon beragama sudah menjadi barah yang menakutkan. Agama jika berada di tangan yang jahil akan menjadi senjata kejahatan.

Hari ini bukan sahaja mitos Wali yang saya temui 40 tahun lampau, juga ancaman golongan yang kononnya alim mempergunakan agama untuk kepuasan badaniah.

Tidak menghairankan satu demi satu laporan berita salah laku seksual di pusat tahfiz terdedah. Sedikit sebanyak kita menyumbang kepada gejala itu kerana kita mudah sangat percaya pada ustaz yang entah dari mana.

Ketika stesen TV ghairah melahirkan iman dan ulama muda, elok juga kita renung sindiran Shahnon Ahmad: seks adalah makanan ustaz sebagai bekalan berdakwah!  


IMLAN ADABI ialah wartawan dan sasterawan sejak 1980-an.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.