Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemecatan MP, Adun hanya lemahkan Bersatu - pemerhati

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Langkah Bersatu memecat wakil rakyatnya yang berpaling tadah tidak akan mencetuskan pilihan raya kecil (PRK), sebaliknya hanya akan melemahkan kuasa tawar-menara mereka dengan parti lain dalam PN.

Pakar berpandangan enam ahli parlimen dan seorang Adun itu akan kekal sebagai wakil rakyat bebas walaupun dilucutkan keahlian oleh Bersatu, sekali gus hanya parti terbabit kehilangan tujuh wakil rakyatnya.

Ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Syaza Shukri, berkata ketiadaan wakil rakyat terbabit tidak banyak mengubah kekuatan politik pembangkang.

"Tetapi ini akan menimbulkan persoalan mengenai kesetiaan ahli parlimen Bersatu berbanding ahli parlimen PAS, dan seterusnya ia akan mengurangkan kuasa tawar-menawar Bersatu dalam PN.

"(Ini akan) mengukuhkan PAS sebagai 'abang besar' dalam PN," katanya.

Syaza berkata demikian dengan merujuk kenyataan Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pada Ahad lalu yang berkata partinya akan memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, mengenai pelucutan keahlian enam wakil rakyat mereka.

Pemakluman tersebut dijangka dibuat semasa sidang dewan pada minggu ketiga bulan ini.

Syaza Shukri

Sebelum itu Wan Ahmad Fayhsal ditanya mengenai tindakan yang diambil terhadap tujuh wakil rakyat mereka yang tidak menjawab surat dikeluarkan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, bagi menuntut mereka menyatakan kesetiaan kepada parti pada 31 Mei lalu.

Pada 17 Mei lalu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata parti itu sedang berusaha mengosongkan kerusi enam ahli parlimennya yang berpaling tadah dengan memfailkan notis kepada Dewan Rakyat.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang kini menyatakan sokongan kepada kerajaan ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang merangkap Adun Nenggiri).

Seorang lagi wakil rakyat terlibat ialah Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari.

Mengulas lanjut Syaza berkata langkah diambil Bersatu ketika ini sesuatu yang belum teruji dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Turut senada ialah penganalisis politik dari Nusantara Academy for Strategic Research (NASR), Azmi Hassan, yang berkata tiada asas undang-undang bagi Speaker Dewan Rakyat untuk menyingkirkan ahli parlimen terbabit dari kerusi mereka.

Tambahnya, pindaan perlembagaan yang dibuat bagi mengekang langkah lompat parti hanya memberi kesan kepada situasi seseorang wakil rakyat keluar dari parti mereka, bukan dipecat.

"Dalam kes ini, enam wakil rakyat tersebut telah dipecat dari parti dan perlembagaan tidak menyatakan apa yang berlaku kepada kerusi-kerusi tersebut," katanya.

Masih di kerusi masing-masing

Tambah Azmi lagi, situasi paling mungkin berlaku ialah enam ahli parlimen tersebut memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas dan menyakskan Bersatu kehilangan semua kerusi berkenaan.

Peguam Baljit Singh Sidhu pula menjelaskan tiada sebarang undang-undang mengekang antilompat parti sebenar selain apa yang dinyatakan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Kita tidak ada undang-undang itu, jadi berdasarkan perkara tersebut, anda tetap akan melihat wakil-wakil rakyat berkenaan kekal di kawasan masing-masiing dan menjalankan tugas mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Baljit, ia bermakna tiada peraturan ketat dan tegas yang akan menentukan apa yang berlaku pada sesebuah kerusi parlimen apabila wakil yang dipilih tidak lagi menjadi ahli sesebuah parti.

"Di Malaysia, situasi kita ialah, jika anda menukar keahlian parti politik, ia tidak akan mempengaruhi kerusi anda kerana kerusi itu secara dasarnya atas nama anda," tambahnya.

Pada 5 Mei lalu, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menggubal akta - yang secara tidak rasmi - dikenali sebagai undang-undang antilompat parti mula berkuat kuasa.

Ia dianggap akan menghalang mana-mana ahli Dewan Rakyat daripada menukar parti. Ia merupakan tindak balas rentas parti ekoran insiden Langkah Sheraton yang menyebabkan keruntuhan kerajaan PH pada 2020.

Berbeza daripada dua penganalisis tadi, sainstis politik Wong Chin Huat pula berkata perkembangan terkini dibuat Bersatu akan membawa kepada PRK di Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Labuan, Tanjong Karang, dan Selat Klang.

Hal itu kerana, katanya, empat ahli parlimen dan seorang Adun itu dipilih sebagai ahli PN dan keahlian mereka dalam gabungan tersebut datangnya dari Bersatu.

"(Mereka) dipilih sebagai ahli PN, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 49A(1).

"Memandangkan keahlian PN mereka berasal dari keahlian Bersatu, mereka kini tidak lagi menjadi ahli PN, dan Speaker - Johari dan Ng Swee Lim di DUN Selangor - sepatutnya menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai pengosongan kerusi mereka dalam tempoh 21 hari selepas menerima notis dari Bersatu," katanya dalam satu kenyataan.

Perkara 49A(1) menyatakan bahawa kerusi seorang ahli parlimen akan dikosongkan jika mereka meletak jawatan atau tidak lagi menjadi ahli parti yang mana mereka adalah sebahagian daripadanya ketika dipilih.

Wong menambah tiada PRK di Jeli dan Gua Musang kerana ahli parlimen mereka tidak dipilih ke Dewan Rakyat sebagai ahli Bersatu atau PAS.

"Ironinya, kerana tidak lagi menjadi ahli Bersatu, mereka kini bebas untuk menyertai mana-mana parti politik, yang juga boleh mereka tinggalkan pada bila-bila masa tanpa kehilangan kerusi sendiri," katanya lagi.