Skip to main
Logo Malaysiakini

'Bicara kes 1MDB boleh berlarutan hingga 2026 jika Najib diarah bela diri'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Pasukan pembelaan Najib Razak menjangka perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion dana 1MDB boleh berlarutan sehingga 2026 jika bekas perdana Menteri itu diarahkan untuk membela diri.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian semasa satu lagi prosiding terhadap Najib, iaitu kes pecah amanah jenayah membabitkan RM6.6 bilion berhubung bayaran yang dibuat kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Minggu lalu, pihak pendakwaan menutup kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram ke atas Najib, dengan hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 19 hingga 22 Ogos bagi pendakwaan dan pembelaan mengemukakan penghujahan lisan.

Sequerah kemudian akan menetapkan Tarikh untuk memutuskan sama ada Najib perlu membela diri atau tidak untuk empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram ke atasnya.

Namun, jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Najib, dia akan dibebaskan daripada kesemua 26 pertuduhan tersebut.

Ketika perbicaraan kes IPIC di depan hakim Muhammad Jamil Hussin, Shafee berkata kes 1MDB adalah antara sebab untuk menangguhkan perbicaraan itu yang bermula hari ini.

Jamil kemudian membenarkan perbicaraan ditangguh sehingga 19 Jun.

"Jika Yang Arif (Jamil) menangguhkan kes (IPIC), kita boleh pecahkan Tarikh, jadi kes (IPIC) Yang Arif boleh dimulakan. Jika tidak, (kes IPIC) perlu tunggu sehingga 2025, kerana kes (1MDB) sudah ambil banyak tarikh dan saya yakin ia akan selesai paling lewat pada 2026," kata Shafee.

[Baca berita asal]