Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP, Umno terkesan jika Bersatu gagal kosongkan 7 kerusi

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Usaha Bersatu untuk mengosongkan kerusi enam ahli parlimennya yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan sekali lagi menguji undang-undang antilompat parti Malaysia.

Ini juga akan menguji peraturan yang digubal oleh pelbagai parti termasuk DAP, Amanah dan Umno, bertujuan untuk menutup kelompongan yang membolehkan ahli parlimen menyokong pihak lain tanpa meninggalkan parti mereka.

Kelemahan pada dasarnya sama untuk pelbagai parti termasuk Bersatu, apabila wakil rakyat yang menentang parti mereka dianggap telah kehilangan keahlian parti mereka.

Secara teori, ini bermakna wakil rakyat tersebut akan "meletak jawatan" daripada parti, dengan itu mencetuskan undang-undang anti-lompat.

Bagaimanapun, pemerhati undang-undang berhujah peruntukan sedemikian boleh dicabar di mahkamah kerana peletakan jawatan secara paksa boleh dilihat sebagai pemecatan.

Di bawah pindaan perlembagaan, undang-undang antilompat parti memperuntukkan seseorang ahli parlimen itu hanya akan kehilangan kerusi mereka jika mereka keluar parti atau menyertai parti lain.

Bagaimanapun, mereka akan mengekalkan kerusi mereka jika mereka dipecat daripada parti.

Keputusan speaker Dewan Rakyat

Bagi kes Bersatu, enam ahli parlimennya itu menyokong perdana menteri itu sebelum parti gabungan PN itu menggubal kelemahan peraturan mereka.

Pun begitu, enam ahli parlimen itu dilaporkan enggan mengesahkan kesetiaan mereka kepada Bersatu dan menarik balik sokongan terhadap Anwar selepas peraturan parti tersebut dipinda.

Ini memberi Bersatu pembukaan yang mereka perlukan untuk memaksa pejabat speaker Dewan Rakyat mengosongkan enam kerusi ahli parlimen berkenaan.

Keputusan itu kini terletak pada speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Jika speaker menolak usaha Bersatu itu maka kelompongan peraturan DAP, Amanah dan Umno juga akan tergugat serta boleh membuka peluang kepada ahli parlimen kerajaan untuk berpaling tadah terhadap pentadbiran Anwar.

Tetapi jika speaker berpihak kepada Bersatu, perlu ada enam pilihan raya kecil untuk mengisi kerusi Dewan Rakyat yang kosong.

Bersatu sebelum ini cuba mengosongkan kerusi empat ahli parlimen Sabah yang pernah menjadi ahli Bersatu sebelum pilihan raya umum ke-15 tetapi menyertai gabungan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar selepas pilihan raya.

Empat wakil rakyat itu berhujah mereka telah menyertai Gagasan Rakyat Sabah (GRS) sebagai ahli langsung sebelum PRU15 dan telah bertanding sebagai ahli GRS dan bukan ahli Bersatu.

Johari telah membuat keputusan yang memihak kepada ahli parlimen GRS.

[Baca berita asal]