Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan digesa nilai semula sistem urus pekerja asing yang kontroversi

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Kerajaan digesa menghentikan pelaksanaan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dikendalikan Bestinet Sdn Bhd dan menilai semula sistem kontroversi itu.

NGO Hak Konsumer Sejahtera (Haks) merujuk laporan Malaysiakini yang memetik sumber sebagai berkata kerajaan akan meneruskan sistem itu untuk tempoh tiga tahun lalu.

Menyifatkannya sebagai perkara serius, Pengerusi Haks Shahir Adnan berkata pelaksanaan sistem pengurusan pekerja asing oleh sebuah syarikat persendirian yang memiliki hubungan dengan ahli politik, bertentangan dengan agenda reformasi.

Shahir yang dahulunya bergiat aktif dalam Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) membangkitkan gesaan Anwar Ibrahim ketika menjadi ketua pembangkang pada 2022, agar SPRM menyiasat Bestinet atas dakwaan keraguan dalam proses pemberian kontrak kerajaan.

"Namun, hari ini jika kerajaan ingin terus mengguna pakai sistem ini ia adalah sesuatu yang amat mendukacitakan," katanya dalam kenyataan.

Menurut laporan Malaysiakini pada 1 Jun lalu, sumber berkata kabinte setuju melanjutkan penggunaan FWCMS selepas menilai kertas yang dibentangkan Kementerian Dalam Negeri.

Namun, syarat perjanjian dengan Bestinet masih tidak jelas dan sumber berkata kerajaan akan mengekalkan kawalan yang lebih besar dalam proses pengambilan pekerja asing, termasuk mengurangkan jumlah yang diperoleh Bestinet bagi setiap pekerja, dari RM100 kepada RM80.

Shahir berkata lagi, dengan masalah sekitar Bestinet, kerajaan sepatutnya membatalkan khidmat syarikat itu.

"Kami menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk melihat perkara ini dan membatalkan hasrat kerajaan untuk meneruskan khidmat FWCMS seperti dilaporkan," katanya lagi.

Laporan Ketua Audit Negara 2022, yang diterbitkan tahun lepas, antara lain mendedahkan ada banyak kelemahan yang berpotensi dimanipulasi, dengan contoh konflik kepentingan dan pelanggaran tadbir urus serta kawalan.

Ketua Audit Negara juga tidak dapat menemukan kaedah yang jelas tentang bagaimana ia dapat dilaksanakan.

Laporan itu juga menyatakan walaupun sudah tujuh tahun beroperasi, masih tiada perjanjian ditandatangani antara kerajaan dan Bestinet, menyebabkan hak kerajaan tidak dapat ditentukan.