Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kerajaan janji keluarga Pastor Koh, Amri untuk teliti kehilangan paksa'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Keluarga Pastor Koh Keng Joo dan aktivis Amri Che Mat telah dijanjikan pada 2019 bahawa kerajaan yang ketika itu di bawah Dr Mahathir Mohamad akan meneliti kehilangan secara paksa kedua-dua individu itu.

Penasihat Hope Perlis Mohammad Faisol Abd Rahman berkata demikian kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa perbicaraan hari ini berhubung saman keluarga Koh terhadap kerajaan dan polis.

Saksi itu, yang mengenali Amri sebelum aktivis itu hilang pada 24 Nov 2016, memberi keterangan lisan bagi menyokong tuntutan mahkamah Susanna Liew Sow Yoke berhubung kehilangan suaminya, Koh, pada 13 Feb 2017.

Semasa perbicaraan di hadapan hakim Su Tiang Joo berhubung kehilangan Koh, Faisol memberi keterangan bahawa dia bersama isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin dan Liew bertemu menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin, yang berjanji untuk membawa isu itu kepada kabinet.

Semasa dalam pemeriksaan utama oleh peguam Liew, Steven Thiru, Faisol berkata mesyuarat itu diatur oleh setiausaha sulit utama Muhyiddin ketika itu Marzuki Mohamad, yang berlangsung di pejabat Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.

Menyifatkan pertemuan itu berlaku selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membuat penemuan pada 3 April 2019 - yang mendapati bahawa pegawai Cawangan Khas dari Bukit Aman bertanggungjawab di sebalik kehilangan Koh dan Amri secara paksa - Faisol mengesahkan pertemuan itu seperti yang ditunjukkan dalam dua gambar di mahkamah .

Satu gambar menunjukkan Muhyiddin bertemu dengan kumpulan itu di pejabat menteri dalam negeri ketika itu, dan kumpulan itu terdiri daripada pemimpin DAP Teresa Kok dan Steven Sim serta Faisol, Norhayati, Liew, dan beberapa yang lain.

Gambar kedua menunjukkan kumpulan sama - kecuali Muhyiddin - di luar pejabat menteri dalam negeri ketika itu selepas mesyuarat setengah jam.

Thiru: Apa kata Muhyiddin (dalam mesyuarat itu)?

Faisol: Muhyiddin berkata dia memandang serius perkara itu, bahawa dia akan menyiasat isu itu, dan dia berkata tidak perlu risau kerana dia amat prihatin dengan apa yang berlaku.

Thiru: Keluarga berjaya mengemukakan soalan mereka?

Faisol: Ya.

Thiru: Adakah Muhyddin jawab (soalan)?

Faisol: Boleh.

Thiru: Bagaimana pertemuan itu berakhir?

Faisol: Dengan Muhyiddin berjanji untuk membawa kes itu ke kabinet.

Pada 23 Mei 2019, Muhyiddin mengumumkan Kementerian Dalam Negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat semula kes kehilangan Koh dan Amri. Pasukan Petugas Khas ini kemudiannya menyediakan laporan yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Akhir tahun lepas, mahkamah sivil membenarkan Norhayati mendapatkan akses terhad kepada laporan itu bagi mengukuhkan saman sivilnya terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan Amri.

Baru-baru ini, Liew sendiri memfailkan permohonan berasingan untuk akses terhad kepada laporan sulit itu untuk menyokong tuntutan mahkamah terhadap pihak berkuasa berhubung kehilangan Koh.

Perbicaraan kes saman Liew di hadapan Su akan disambung esok.

Setahun selepas penemuan Suhakam, Liew memfailkan tindakan mahkamah sivil untuk memaksa pihak berkuasa mendedahkan keberadaan Koh.

Su juga menghakimi saman Norhayati.