Skip to main
Logo Malaysiakini

Pyanhabib kembali ke rahmatullah

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Lapan hari selepas menyambut hari ulang tahun, seniman, penulis, pelakon dan penyair terkenal Pyanhabib Rahman menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.

Berita dukacita itu disahkan isteri allahyarham Pyanhabib, Zurina Zakaria kepada Malaysiakini.

Kata Zurina, 58, arwah disahkan meninggal dunia pada jam 8.40 tadi selepas ambulans tiba di kediaman mereka.

“Dia sebelum itu mengadu sesak nafas. Apabila ambulans sampai, mereka lakukan CPR, namun, abang sudah tiada lagi ketika itu.

“Kematian mungkin berpunca daripada komplikasi kebengkakan yang dialami pada kaki arwah, doktor sebelum ini memaklumkan hal itu mengakibatkan hatinya bertoksik,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, Pyanhabib sebelum itu mengalami batuk untuk tempoh yang agak lama sebelum mereka mengerjakan umrah buat pertama kali pada September tahun lalu.

Namun, selepas sembuh daripada batuk itu, arwah mengadu nafasnya pula asyik tercungap-cungap.

“Ketika turun keretapi di Madinah, abang terjatuh dan selama kerjakan umrah dia perlu menaiki kerusi roda,” katanya.

Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman hilang pendengaran sewaktu berusia 12 tahun selepas mengalami demam panas.

Dia juga terkenal sebagai deklamator dengan lantunan suara yang unik.

Dua buah kumpulan puisi indie yang ditulis sendiri olehnya adalah Suara dan Saraf Dukaku.

Pyanhabib juga pernah menerbitkan Balada Pyanhabib, koleksi lengkap kepenyairannya.

Selain itu, arwah pernah menjayakan filem Kembara Seniman Jalanan bersama komposer dan penyanyi terkenal, M Nasir dan pengarah Nasir Jani pada 1986.

Namun, bakatnya dipuji apabila muncul dalam filem arahan Rahim Razali yang berjudul Tsu Feh Sofiah yang sarat membawa falsafah keagamaan.

Allahyarham pernah dicalonkan dalam Festival Filem Malaysia ke-7 untuk kategori Pelakon Pembantu Terbaik dan memenanginya namun dia menolak anugerah tersebut kerana terkilan tidak dipertandingkan melalui Kembara Seniman Jalanan.

Menurut Zurina, jenazah akan dimandikan di Masjid As Sobihin di Lembah Keramat, Ampang pada jam 9 pagi esok.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 jam 10 pagi,” katanya.