ULASAN | Inilah dia Horror Mundi
Serangan genosid negara haram Israel ke atas khemah-khemah pelarian di Rafah mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 kematian dalam kalangan penduduk Palestin.
Foto-foto mayat kanak-kanak dan bayi yang terbakar dan hangus yang tersebar di media sosial sangat memilu dan menyayat hati. Segala kutukan dan kecaman masyarakat antarabangsa masih tidak mengubah apa-apa kerana tiada siapa dan apa pun yang dapat menahan rejim haram daripada melakukan pembunuhan.
Mereka dibunuh kejam dengan sewenang-wenangnya dan menghadapi kematian setiap detik. Kempen Eyes on Rafah digerakkan ketika kemuncak penyembelihan rejim genosid ke atas rakyat Palestin, satu holocaust yang lebih buruk daripada yang dilakukan Nazi Jerman ke atas bangsa Yahudi semasa Perang Dunia Kedua.
Rejim genosid menyekat pintu masuk saluran bantuan makanan ke Rafah melalui Mesir. Rejim genosid sengaja membuat rakyat Gaza kelaparan kerana mahukan berlakunya kebuluran.
Seluruh infrastruktur, sejarah, menara ilmu, keintelektualan dan pendidikan serta budaya rakyat Palestin di Gaza dihancur dan dibinasa sehingga tidak ada lagi untuk diingati dan dipulihara.
Ini membuatkan penyanyi legenda Eric Clapton mempertanggungjawabkan Jawatankuasa Perhubungan Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berada di belakang semua ini dengan berkata, “ia adalah AIPAC, ia adalah pelobi. Israel sedang mengendalikannya. Israel menguasai dunia sekarang.”
Sejak peristiwa Nakba 1948, Yahudi-Zionis dikuasai oleh kekuatan menggerunkan atau horror, yang falsafahnya adalah keganasan dan kekerasan; yang paradigma politiknya adalah pembunuhan, yang ekonominya adalah riba dan penipuan; yang bahasa komunikasinya adalah manipulasi; yang nilai budayanya adalah kerosakan.
Inilah bangsa yang disarati dengan nilai-nilai kejahatan, pengeboman, kebrutalan, penjarahan, penculikan, pembunuhan, penyeksaan yang tiada penghujung.
Ke mana pun kita memandang, yang kita saksikan adalah gelombang-gelombang kekejaman, keganasan, kesengsaraan, di manapun kita berada yang kita rasakan adalah beragam rencah ancaman, keganasan, kerakusan dan kekejaman.
Ketakutan, ketidakberdayaan, depresi, histeria, mekankolia, trauma, paranoia, skizofrenia, tekanan jiwa dan kegilaan sedang mengancam dunia, Yahudi-Zionis sedang menghancurluluhkan Gaza.
Israel tak peduli
Seakan-akan tidak ada satu sudut dan ruang aman yang dapat menghentikan kebrutalan dan kekejaman Israel sekarang. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Keselamatan PBB, Majlis Keadilan Antarabangsa (ICJ) mahukan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengarahkan rejim pengganas supaya menghentikan serangan ke atas Rafah lemah longlai, tidak berdaya untuk membuat apa-apa. Negara haram Israel tidak memperdulikan semua itu.
Mereka girang dalam amukan “Horror Mundi”.
Konsep ini muncul dalam sebuah karya pemikir semiotika Indonesia, Profesor Yasraf Amir Piliang bertajuk Sebuah Dunia Menakutkan - Mesin-Mesin Kekerasan dalam Jagat Raya Chaos (bawah).
Namun saya kembangkannya menyangkut bangsa Yahudi-Zionis.
Bagi Yasraf, “Horror Mundi” adalah sebuah sistem kekuasaan yang didukungi fikiran-fikiran menggerunkan (horror) atau yang dikendalikan oleh hasrat-hasrat kacau atau chaos dengan diiringi oleh jiwa-jiwa buas tanpa henti dalam sebuah dunia “Horror Mundi”.
Inilah bangsa Yahudi-Zionis yang menubuhkan negara haram Israel di mana ketenangan bagi mereka adalah kegilaan membunuh dan keamanan bagi mereka keganasan. Jika kedua-dua perkara ini tidak dapat dilakukan (pembunuhan dan keganasan) hidup mereka tidak akan sempurna.
Dalam dunia Horror Mundi, tiada istilah keamanan, kedamaian, gencatan senjata, apa lagi bermoral dan beradab yang semuanya adalah haram, yang halal adalah perang tanpa henti, bunuh semaunya tak kira siang atau malam, genosid di setiap sudut di mana kekuatan nafsu adalah maharaja yang berkuasa mutlak dalam marcapada ini.
Dalam kegagalan menghancurkan Hamas dan pejuang Palestin lain proses dehumanisasi di Gaza terus berlangsung dalam skala besar atas tubuh rakyat Palestin. Drama demi drama kekerasan, pembantaian, pembunuhan yang terus berlaku tanpa noktah kerana mereka memang tidak mahu penyelesaian yang akan mengelisahkan mereka.
Kekerasan telah terlepas daripada prinsip moral dan kemanusiaan hancur lebur kerana berjalan mengikut keinginannya sendiri, kebengisan adalah permata hati dan berjalan menurut hasratnya sendiri; kesadisan terpisah daripada ikatan budaya murni dan berjalan mengikut rentak keganasan itu sendiri.
Kehilangan nyawa manusia dan kehancuran harta benda terus berlaku tanpa batas. Seperti dinyatakan badan-badan keamanan antarabangsa tidak berdaya bertindak, hukum-hukum antarabangsa bacul penguatkuasaannya, kerajaan-kerajaan hanya mampu mengkritik dan mengutuk tetapi lemah di hadapan euphoria genosid yang bebas dalam kecanduan keseronokan membunuh atau menikmati esctacy of horror.
Dunia penuh rasa takut
Dan ia menebarkan visual kegerunan dalam menunjukkan kekuasaan, menabur sumbu-sumbu kekejaman sebagai cara melanggengkan kekuasaan yang kejam ke atas Gaza.
Kini kita hidup dalam sebuah Horror Mundi - sebuah dunia yang penuh rasa takut akan ancaman perang dunia ketiga, keghairahan negara haram Israel mahukan Iran menyerangnya, inginkan Laut Merah terus bergolak dan mengimpikan China menyerang Taiwan.
Ekstasi keganasan rejim genosid ini mahukan Amerika dan negara Eropah Barat berperang dengan Rusia di Ukraine.
Membunuh, mengebom, tembak curi, melakukan kekejaman dan keganasan apa lagi genosid dan pembersihan etnik adalah suatu ekstasi dan keseronokan yang mempersonakan bagi bangsa Yahudi Zionis.
Bayangkan daripada filem-filem fiksyen dan permainan video yang dipenuhi dengan aksi-aksi ganas dan buas begitu diminati penonton, sekarang pembunuhan dan kekejaman telah berpindah ke dari dunia stereo ke dunia realiti.
Akhirnya dalam Horror Mundi, Yahudi-Zionis muncul sebagai raksasa yang bebas membunuh dan menikam kemanusiaan.
Warisan horror yang ditinggalkan Yahudi-Zionis ke atas Gaza untuk disaksikan dunia merupakan genosid, Holocaust, pembersihan etnik, represi, imperialisme, kolonialisme, etnosentrisme dan resisme. Inilah dia Horror Mundi!
ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai