Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib rujuk ucapan Anwar dalam afidavit berhubung tahanan rumah

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Najib Razak merujuk kepada ucapan perdana menteri Anwar Ibrahim pada Konvensyen Khas PKR, kira-kira dua bulan lalu untuk mengukuhkan cabarannya bagi pelaksanaan titah addendum yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan rumah.

Dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Mei, bekas perdana menteri itu mendakwa ucapan presiden PKR pada konvensyen 21 April itu mengesahkan kewujudan titah tambahan Yang di-Pertuan Agong.

Pada tarikh berkenaan, Anwar dilaporkan berkata bahawa kerajaan persekutuan tidak akan mempersoalkan kuasa bekas Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan isu itu dan bahawa Seri Paduka mempunyai kata putus sebagai pengerusi Lembaga Pengampunan.

Dalam afidavit itu, Najib memetik transkrip ucapan Anwar yang dirakamkan dalam salinan DVD video konvensyen itu.

“Mesej dalam video itu, dibantu dengan transkrip dan terjemahan bahasa Inggeris, yang diambil dalam konteks seluruhnya, jelas menunjukkan bahawa ucapan perdana menteri menyentuh perkara titah adendum.

“Ucapan ini berlangsung pada 21 April, hampir tiga bulan selepas titah utama diumumkan pada 2 Februari oleh urusetia Lembaga Pengampunan wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya (di bawah pengawasan dan kawalan responden keempat, kelima dan keenam),” katanya.

Mereka yang disasarkan itu adalah Lembaga Pengampunan bagi wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas undang-undang dan pembaharuan institusi; dan ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri).

“Tarikh ucapan ini diberikan mempunyai hubungan rapat dengan pemfailan permohonan semakan kehakiman ini, iaitu 1 April, dan perbincangan segera dan teguh oleh pihak media dan orang awam berkenaan adendum tersebut.

“Jelas sekali bahawa perdana menteri tidak merujuk kepada titah utama dalam ucapannya tetapi beliau cuba mempersoalkan kesahihan titah adendum, tetapi mengelak untuk menyebut perkataan titah adendum.

“Jelas daripada ucapan tersebut bahawa perdana menteri telah tersilap dinasihatkan oleh peguam negara bahawa titah sedemikian tidak mungkin sah melainkan dibincangkan dan dinasihatkan secara khusus semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan bersidang dengan Yang di-Pertuan Agong ke-16,” kata Najib. dalam afidavit yang difailkan oleh firma guaman Shafee & Co.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk memasukkan afidavitnya dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, yang dibantah oleh wakil kerajaan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Mahkamah juga menangguhkan keputusannya sama ada memberi kebenaran kepada Najib untuk meneruskan semakan kehakimannya berhubung dakwaan titah addendum yang membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah ke 3 Julai.

Jika kebenaran diberikan pada tarikh tersebut, mahkamah kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk mendengar hujahan lisan pihak-pihak mengenai merit kes tersebut.

[Baca berita penuh]