Skip to main
Logo Malaysiakini

Kabinet setuju pembentangan RUU tangani isu parallel pathway - Fahmi

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil hari ini berkata isu program latihan ijazah kepakaran atau parallel pathway dijangka dapat diselesaikan melalui satu Rang Undang-undang (RUU) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya, Fahmi berkata isu itu telah dibincangkan oleh kabinet pada mesyuaratnya hari ini, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Isu parallel pathway dibincangkan hari ini. Satu memorandum bersama oleh menteri kesihatan dan menteri pendidikan tinggi dibentangkan dan diputuskan.

“Maka isu parallel pathway kita lihat akan dapat diatasi dengan pembentangan satu RUU yang akan dibawa ke parlimen,” kata Fahmi yang juga adalah menteri komunikasi.

Fahmi bagaimanapun berkata butiran berhubung RUU yang akan dibentangkan itu perlu dirujuk kepada kementerian yang bertanggungjawab.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pengumuman Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Isu parallel pathway  menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotoraks sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Ia selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf.

Untuk rekod, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang kardiotoraks.

Mengulas mengenai pembentangan memorandum itu, Fahmi berkata ia bertujuan merungkai isu pertindihan yang melibatkan dua agensi iaitu Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan MMC.

“Isunya adalah antara kedua-dua agensi ini, jika kita bawa pindaan ke Parlimen, ia akan membantu menyelesaikan perkara itu.

"Kita perlu menanti sehingga ia benar-benar dibentangkan,” katanya.

[Baca berita penuh]