Skip to main
Logo Malaysiakini

Parallel pathway: Pinda akta untuk selesai kemelut kelayakan pakar - Dzul

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bertujuan menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan paralel atau parallel pathway serta memperkemas proses pengiktirafan dan pendaftaran sebagai pakar perubatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan pindaan akta itu telah dikemukakan oleh beliau dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerusi Memorandum Jemaah Menteri, hari ini.

“Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip dengan cadangan ini.

"Rang Undang-undang untuk pindaan itu akan dibentangkan pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 2024 setelah diluluskan oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Dzulkefly Jemaah Menteri juga cakna terhadap keperluan perkhidmatan kepakaran di semua fasiliti kesihatan yang semakin meningkat di seluruh negara.

Beliau berkata laluan paralel yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan program sarjana perubatan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan berfungsi untuk melahirkan lebih ramai pakar bagi memenuhi keperluan itu.

Melalui pindaan berkenaan, beliau berkata kedua-dua laluan latihan kepakaran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dari aspek perundangan.

“Dengan itu juga, para doktor yang telah menyempurnakan mana-mana program seperti di atas akan dapat didaftarkan sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC). Ini sekali gus membolehkan segala isu-isu berbangkit diselesaikan segera,” katanya.

Beliau berkata KKM akan memastikan kualiti latihan dan perkhidmatan, kompetensi pengamal dan pakar perubatan serta aspek keselamatan pesakit tetap terjamin apabila pindaan berkenaan dibuat.

Isu Parallel Pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus dalam bidang kardiotoraks sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Ia selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraks untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf.

- Bernama