Skip to main
Logo Malaysiakini

Program keagamaan di TV, radio mesti ilmiah - agamawan

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Beberapa tokoh berharap agar media massa - khususnya milik kerajaan - bertindak lebih cermat mendidik masyarakat dalam isu agama bagi menghidupkan nilai intelektualisme.

Gesaan itu dibuat apabila ada pandangan menganggap media terutamanya stesen televisyen (TV) kelihatan lebih mengejar keuntungan dan populariti berbanding kualiti isi yang diketengahkan.

Mantan Timbalan Yang Dipetua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Zolkarnain Abidin, menegaskan sesebuah stesen TV perlu berani membawa topik agama yang lebih menekankan sudut falsafah, kenegaraan dan keadilan sosial.

“Contohnya, kalau musim haji ini, stesen TV tak habis-habis bawa topik yang 'ringan' kepada masyarakat seperti memotivasikan orang ramai tunaikan haji, hukum pergi haji pakai duit haram serta pergi haji hanya untuk mendapat gelaran.

“Saya rasa topik sudah diulang-ulang. Sepatutnya isu haji dikupas dari aspek falsafah dan hikmah pensyariatannya dari sudut keadilan sosial dan nilai kesetaraan dalam Islam.

“Begitu juga ibadah korban, harus dikupas bagaimana tatakelola pihak pengurusan dapat memastikan tiada orang betul-betul layak mendapat daging tercicir,” katanya kepada Malaysiakini.

Zolkharnain Abidin

Zolkarnain menambah, jika sesebuah stesen TV ada rasa tanggungjawab untuk mendidik masyarakat secara ilmiah, mereka perlulah mengutamakan tokoh yang benar-benar berwibawa.

Antara pihak yang boleh diketengahkan, katanya, ialah mufti, ahli jawatankuasa fatwa negeri dan pensyarah yang sudah teruji kredibilitinya.

Zolkarnain dihubungi bagi mendapatkan reaksinya berhubung rasa kurang senang banyak pihak terhadap kontroversi terlahir dari kenyataan penceramah terkenal, Don Daniyal Don Biyajid.

Dia yang juga seorang pensyarah kini direhatkan daripada terus bersiaran dalam rancangan Salam Baitullah terbitan Radio Television Malaysia (RTM).

Elak pendusta atas nama nabi

Langkah tersebut dibuat beberapa hari selepas Don Daniyal dikritik ekoran dakwaan terhadap kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang dikatakan hanya rekaan.

Antara lain Don Daniyal mendakwa Rasulullah melamar seorang wanita, Ummu Hani, sebanyak tiga kali dan wanita tersebut merupakan "cinta pertama" baginda.

Ia disanggah oleh banyak pihak dan Don Daniyal diminta mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan berkenaan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluakan kenyataan menjelaskan isu tersebut. Menurut agensi itu, dakwaan nabi melamar wanita terbabit sebanyak tiga kali tidak dapat diterima kerana berlaku kecatatan pada riwayatnya.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihat agar berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu perkara yang berkait dengan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Hal yang demikian supaya kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang mendustakan baginda SAW," kata kenyataan tersebut.

Rozaimi Ramle

Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Muhamad Rozaimi Ramle pula mengkritik sesetengah stesen TV dan radio yang membuka peluang kepada agamawan bermasalah sehingga individu terbabit menjadi ‘ustaz selebriti’ dalam kalangan masyarakat.

“Golongan ini muncul disebabkan (peranan) stesen TV dan medialah, mereka mula menjadi ikutan masyarakat,” katanya.

Rozaimi yang juga ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis menyarankan stesen TV dan radio supaya lebih rajin menyelidik latar belakang pendidikan dan kepakaran seseorang tokoh sebelum menjemput mereka menjadi tetamu.

“Jangan fikirkan populariti dengan menjemput ‘ustaz selebriti’ sebaliknya utamakan kekuatan tajuk.

“Contohi rancangan Analisis TV Alhijrah dihoskan oleh Syafinaz Yunus satu masa dahulu yang seringkali menjemput pakar yang tidaklah popular namun mempunyai keahlian dalam topik yang dibincangkan.

"Rating siaran mereka tetap naik,” katanya.

Sementara itu , Naib Juara Pencetus Ummah musim kedua Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli menyatakan sesebuah stesen TV seharusnya menjemput agamawan membincangkan isu yang sesuai dengan kepakaran mereka saja.

“Istilah ustaz itu kalau asal kata Arabnya memang merujuk orang yang ada kepakaran semua bidang seperti profesor namun kini tidak begitu.

“Ustaz Don contohnya beliau lebih alim dalam ilmu tajwid, sepatutnya media harus jemput beliau untuk mengajar ilmu itu,” katanya kepada Malaysiakini.