Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengimport telur mohon prosiding hina mahkamah terhadap Azmin

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Sebuah syarikat pengimport telur memfailkan permohonan kebenaran di mahkamah sivil untuk memulakan prosiding penghinaan terhadap bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Azmin Ali.

J&E Advance Tech Sdn Bhd memfailkan permohonan bagi perintah komital di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hujung bulan lalu, susulan pemfailan keterangan saksi oleh Azmin.

Dalam perbicaraan bulan lalu, Adun Hulu Kelang itu memfailkan keterangan saksi berhubung saman fitnah syarikat berkenaan terhadapnya dalam isu import telur dari India.

Menurut undang-undang Malaysia, sabitan bersalah dalam prosiding komital di mahkamah sivil boleh membawa hukuman denda atau penjara.

Menurut salinan afidavit sokongan yang dilihat Malaysiakini, pengurus besar J&E Advance Tech Rajesh Jaikishan mendakwa Azmin menyalahgunakan proses mahkamah dan mengganggu pentadbiran keadilan.

Rajesh mendakwa perkara ini berlaku apabila Azmin memfailkan keterangan saksi pada 16 Mei tahun ini (sehari sebelum perbicaraan penuh di mahkamah pada 17 Mei di hadapan pesuruhjaya kehakiman Leong Wai Hong), sedangkan defendan telah memfailkan kenyataan saksi sebelum ini pada Nov 15 tahun lepas.

Perbicaraan di mahkamah berlangsung selama dua hari iaitu pada 13 Mei dan 17 Mei.

J&E Advance Tech mendakwa ini bermakna defendan telah mengambil pendirian baru dalam memberikan keterangan utamanya yang didakwa bercanggah dengan kenyataan saksi terdahulu.

Rajesh mendakwa mahkamah pada 16 Nov tahun lepas mengarahkan plaintif dan defendan memfailkan dokumen pra bicara dan pernyataan saksi mereka selewat-lewatnya 30 Dis tahun lepas.

Plaintif mendakwa pada hari kedua perbicaraan di mahkamah pada 17 Mei tahun ini, Azmin telah menyampaikan sesalinan Ikatan Dokumen Tambahan yang mengandungi keterangan saksi baru, selepas plaintif menutup kes.

“Ini telah mengakibatkan kes plaintif (terhadap Azmin) diprejudis secara amat serius ,” dakwa Rajesh dalam afidavit bertarikh 23 Mei, yang difailkan oleh peguam bela plaintif, Bhavanash Sharma.

J&E Advance Tech juga mendakwa Azmin gagal atau cuai untuk memberikan penjelasan mengenai kelewatan pemfailan pada hari kedua perbicaraan.

Plaintif memohon mahkamah mengambil kira kenyataan saksi Azmin sebelum ini bagi membolehkan ia melakukan penilaian menyeluruh terhadap kredibiliti defendan sebagai saksi.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, peguam Azmin, Nizamuddin Abdul Hamid berkata mereka belum menerima salinan permohonan komital itu kerana pada peringkat kebenaran prosiding menghina mahkamah adalah ex-parte (hanya satu pihak yang hadir semasa prosiding).

Jika mahkamah sivil memberikan kebenaran kepada J&E Advance Tech untuk memulakan prosiding komital, maka salinan permohonan itu akan diserahkan kepada Azmin, dan mahkamah akan menetapkan tarikh berasingan untuk perbicaraan antara pihak (kedua-dua pihak yang hadir) berhubung merit permohonan itu. .

“Ia adalah permohonan ex-parte dan masih di peringkat kebenaran.

"Kami tidak diserahkan dengan dokumen tersebut, justeru secara teknikal kami tidak tahu kandungannya," jelas Nizamuddin.

Awal tahun lepas, J&E Advance Tech memfailkan saman fitnah berhubung ucapan Azmin dalam satu ceramah pada 11 Mac tahun yang sama.

Dalam pernyataan pembelaannya, Azmin menafikan cuba memfitnah syatrikat pengimport telur itu, dengan menyatakan bahawa dia hanya mempersoalkan janji kerajaan Anwar Ibrahim untuk melaksanakan tender terbuka bagi semua perolehan kerajaan.

Defendan berkata ucapannya tidak pernah menyebut nama syarikat itu dan merujuk terus kepada kerajaan dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Dalam jawapan syarikat yang difailkan pada 11 Ogos tahun lepas, plaintif membalas bahawa kenyataan Azmin adalah fitnah pada awal ucapannya dan pada bahagian berikutnya apabila mendakwa pihak tertentu terlibat dalam penyelewengan, yang dalam fikiran munasabah mana-mana pendengar secara tidak langsung merujuk kepada syarikat itu.

J&E Advance Tech berkata walaupun ucapan Azmin tidak menamakannya, syarikat itu menegaskan adalah menjadi pengetahuan umum bahawa plaintif ialah pengimport tunggal telur dari India, berikutan namanya disebut oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu pada 8 Mac tahun lepas.

Mohamad ketika bercakap di Dewan Rakyat pada masa itu berkata J&E Advance Tech diberi kebenaran mengimport telur dari India bagi menangani isu kekurangan produk makanan berkenaan dalam jangka masa pendek.

[Baca berita penuh]